Cari @ Amanz

Sehingga hari ini, Wear OS masih tidak sehebat watchOS. Ia tidak matang, prestasi tidak hebat, banyak masalah dan kemaskini agak lambat walaupun ia adalah “Android asli”. Tetapi, Google masih tidak mengalah dan teruskan pembangunan sistem operasi untuk jam tangan pintar ini.

Terkini, Google telah hadir dengan Wear OS yang dibina berasaskan Android 11. Ia dibina khusus untuk sokongan siri Snapdragon Wear 4100 yang diumumkan pada bulan Jun lepas. Ini adalah satu kemaskini besar, kerana sebelum ini Wear OS stabil terakhir adalah berasaskan Android 9 lagi. Berikut adalah beberapa kemaskini yang diperkenalkan;

  • Akses lebih pantas ke informasi.
  • Cara tambatan ke peranti yang lebih mudah.
  • Antaramuka sistem yang lebih intuitif untuk mudah berinteraksi antara mod jam dan bersukan.
  • Prestasi 20% lebih pantas untuk melancarkan aplikasi.
  • Sokongan LTE ditambah baik.

Google turut menambah fungsi yang mirip dengan watchOS 7, iaitu bantuan membasuh tangan. Ini adalah bersempena dengan Covid-19, untuk memastikan pengguna kekal menjaga kebersihan. Akhir sekali, Google turut mengemaskini rekaan tile cuaca pada Wear OS dengan antaramuka yang lebih mesra untuk jam tangan pintar.

Buat masa ini ia masih lagi dalam ujian dan ia bergantung kepada pembangun jika ingin sertakannya. Dengan trend terkini pengeluar menggunakan pelancar tersendiri di atas Wear OS seperti Oppo dan Xiaomi, jadi tidak pasti jika ia akan diedarkan secara meluas atau kepada pengeluar tertentu.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd