Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump kini telah menandatangani arahan baru, yang memberikan ByteDance sehingga 90 hari untuk menjual operasi perkhidmatan mereka di Amerika Syarikat.
Sebelum ini, TikTok diberikan tempoh selama 20 hari untuk menjual atau diharamkan, tetapi dengan arahan baru ini, ia mempunyai tarikh sehingga 12 November 2020.
Buat masa ini, ia tidak diketahui mengapakah Trump melanjutkan tarikh ini. Sebelum ini, Microsoft sedia mengatakan mereka akan selesai perbincangan pengambil-alihan sebelum 15 September kelak. Apa pun, mengikut spekulasi ramai, proses pemindahan dan pengasingan operasi ini adalah sedikit sukar berbanding jangkaan awal.
Melalui arahan baru ini juga, Trump mengatakan yang mana ByteDance perlu memadam sebarang data TikTok untuk pengguna Amerika Syarikat, sekaligus melaporkan kepada pihak berkuasa disana. Pada masa yang sama, ByteDance juga diminta memadam data pengguna yang didapati melalui pengambil-alihan Musically sebelum ini.
Sebelum ini, Trump tidak menyertakan arahan meminta data pengguna dipadam, dan ini adalah antara arahan baru yang ditambah bersama lanjutan tarikh penjualan ini.