Cari @ Amanz

Siri iQOO 5 akhirnya diperkenalkan secara rasmi di China. IQOO dilihat memperkenalkan dua buah model di bawah siri ini iaitu iQOO 5 dan juga iQOO 5 Pro. Titik tumpuan utama yang menarik pada siri kali ini adalah sokongan pengecasan pantas 120W yang terdapat pada iQOO 5 Pro.

Kita mulakan dengan iQOO 5 terlebih dahulu. Peranti ini hadir dengan paparan berukuran 6.56-inci AMOLED dengan resolusi FHD+. Paparan ini juga menyokong skrin dengan kadar segar semula 120Hz dan mempunyai sokongan HDR 10+. Untuk spesifikasi, peranti ini menggunakan pemproses Snapdragon 865 bersama paduan GPU Adreno 650.

Bersama-samanya, turut disertakan memori sehingga 12GB RAM (LPDDR5) dan storan dalaman sehingga 256GB (UFS3.1). Untuk perisian, peranti ini menggunakan IQOO UI 1.5 berasaskan Android 10 terkini. Beralih ke bateri pula, ia disokong oleh bateri sebesar 4,500mAh dengan sokongan pengecasan pantas 55W melalui port USB-C.

Untuk kamera, iQOO 5 dibekalkan tiga kamera belakang dengan lensa 50-Megapixel (f/1.85) (utama) + 13-Megapixel (f/2.2)(sudut ultra-lebar) + 13-Megapixel (f/2.46) (telefoto). Kamera ini menyokong zum digital sehingga 20X dan rakaman video tertinggi 4K. Sokongan kamera hadapan pula sebesar 16-Megapixel. IQOO 5 ditawarkan pada harga bermula RMB3,899 (~RM2,353 ) di China untuk versi asas.

Seterusnya, iQOO 5 Pro pula. Peranti ini membawakan spesifikasi yang lebih kurang sama dengan iQOO 5 seperti skrin 6.56-inci AMOLED FHD+, skrin dengan kadar segar semula 120Hz dan paparan yang dilengkapi sokongan HDR 10+. Spesifikasi dalaman juga sama melalui penggunaan Snapdragon 856, memori sehingga 12GB RAM (LPDDR5) dan storan 256GB (UFS3.1).

Apa yang membezakan antara kedua-dua model ini adalah sokongan kamera dan baterinya. IQOO 5 Pro dilengkapi gabungan lensa 50-Megapixel (utama) + 13-Megapixel (sudut ultra-lebar) + 8-Megapixel (periskop). Kamera ini berupaya menyokong zum optik sehingga 5X, zum digital sehingga 60X dan rakaman video tertinggi 8K. Kamera hadapan masih sama dengan iQOO 5 iaitu 16-Megapixel.

Untuk bateri, iQOO 5 Pro dibekalkan bateri 4,000mAh dengan pengecasan pantas 120W. Lebih menarik, iQOO 5 Pro edisi BMW turut diperkenalkan pada acara yang sama dengan kemasan lebih premium. IQOO 5 Pro ditawarkan pada harga bermula RMB4,998 (~RM3,010) untuk versi asas.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd