MediaTek sekarang bukannya MediaTek yang dahulu. Ia kini semakin berkuasa, hebat dan mempunyai prestasi yang memuaskan. Tidak dinafikan yang peranti yang dijana cip MediaTek kebiasaannya akan menerima kemaskini yang lanbat, tetapi kelebihan pada cip ini jelas terserlah berbanding Qualcomm. Salah satunya, MediaTek satu-satunya jenama yang mengeluarkan banyak cip pemprosesan dengan sokongan 5G untuk pelbagai kelas peranti.
Terkini, MediaTek telah mengumumkan Dimensity 800U, yang mana menyertai cip Dimensity 720, 800, 820, 1000 dan juga 1000+ – iaitu cip dengan modem 5G. Cip Dimensity 800U ini menggunakan binaan 7nm dan adalah lapan-teras, iaitu 2 ARM Cortex-A76 2.4GHz + 6 ARM Coretx-A55 2.0GHz. GPU pula adalah Mali-G57 dengan cip kecerdasan buatan tersendiri dan menyokong storan jenis UFS 2.1 serta memori RAM LPDDR4X. Cip ini turut mampu menguasakan paparan dengan sokongan kadar segar semula 120Hz, FHD+, HDR10+ dan enjin PQ MiraVision untuk pengoptimasian HDR khusus untuk video.
Untuk kamera, ia menyokong lensa 64MP dan tetapan kuad-kamera. Cip ini juga sedia menyokong seruan pembantu digital sentiasa aktif dengan sokongan melalui dua mikrofon pengurangan hingar. Cip 5G yang digunakan pula adalah 5G+5G dwi-SIM, menyokong sub-6Hz SA atau NSA, dwi-suara melalui New Radio VoNR, mod penjimata kuasa 5G MediaTek UltraSave dan pengagregatan 5G melalui dua telco.
MediaTek Dimensity 800U ini mempunyai kuasa satu-teras lebih berkuasa dari Dimensity 800, tetapi kuasa multi-teras yang jauh lebih lemah. Menurut MediaTek, cip ini mempunyai 11% kuasa CPU lebih pantas dan kuasa GPU 28% lebih pantas dari Dimensity 720. MediaTek mengatakan yang peranti yang akan dijana dengan cip ini hanya akan mula wujud pada suku ketiga tahun 2020 di China terlebih dahulu.