Cari @ Amanz

Apple Mempatenkan Perkhidmatan Penstriman Permainan Menggunakan Teknologi 5G

Oleh Nazrin

Link Copied!

Sebelum ini ia telah dilaporkan bahawa Apple tidak berminat untuk membenarkan perkhidmatan penstriman permainan komputer seperti Google Stadia, Project xCloud oleh Microsoft ataupun GeForce Now keluaran NVIDIA digunakan di platformnya.

Ia merupakan suatu keputusan yang cukup merunsingkan kerana ia secara langsung akan mengasingkan pengguna iOS daripada cara mudah untuk mengakses timbunan permainan komputer yang dimiliki mereka di platform mudah-alih tersebut.

Terkini Apple dilihat telah memfailkan sebuah paten untuk perkhidmatan penstriman permainan mereka sendiri yang dinamakan “Enabling Interactive Service for Cloud Rendering Gaming in 5G Systems“.

Butiran paten ini dapat dilihat melalui laman web Patently Apple yang mengatakan bahawa ia difailkan pada bulan Februari tahun ini, tetap hanya diperlihatkan beberapa hari lalu.

Apa yang menarik mengenai ini ialah paten Apple boleh dikatakan hampir serupa dengan apa yang ditawarkan oleh Google, Microsoft dan NVIDIA, tetapi memfokuskan kepada penggunaan rangkaian 5G untuk meminimakan lengah masa dari segi penyampaian strim dan juga input daripada pemain.

Keputusan Apple untuk membangunkan perkhidmatan penstriman permainan mereka sendiri boleh dikatakan agak ganjil kerana platform tersebut tidak mempunyai begitu banyak permainan yang boleh dimainkan pada platform MacOS pada masa ini, khususnya apabila sistem operasi tersebut sedang berada dalam proses untuk berubah ke penggunaan CPU ARM.

Jika perkhidmatan ini adalah untuk platform iOS, ia juga masih sesuatu yang agak ganjil kerana permua pada platform tersebut boleh sahaja dimuat-turun dan dimainkan oleh pelbagai peranti iPhone dan iPad tanpa masalah. Mereka juga sudahpun mempunyai platform permua Apple Arcade yang nampaknya tidak begitu popular.

Apa-apa pun sebab Apple membangunkan platform ini, ia menunjukkan mengapa mereka tidak membenarkan platform-platform penstriman permainan lain untuk digunakan pada iOS dan iPad OS.


Komen ()