Carian
Saintis UIA Ingin Mengembalikan Badak Sumbu Sumatera Yang Telah Pupus Di Malaysia Menerusi Teknik Pengklonan
August 18, 2020 Effi Saharudin

Tahun lalu kematian Iman, seekor badak sumbu Sumatera di Malaysia mendapat liputan yang hangat oleh media. Kematiannya mendatangkan kemarahan keran Iman ialah badak sumbu terakhir di negara kita. Kini saintis dari Universiti Islam Antarabangsa ingin menggunakan teknik pengklonan bagi mengembalikan spesis ini ke dunia.

Pasukan saintis yang diketuai oleh Dr. Muhammad Lokman Bin Md. Isa akan menggunakan dua teknik bagi meningkatkan kebarangkalian kejayaan. Teknik pertama ialah menggunakan telur badak sumbu dari spesis lain yang kemudian dibuang nukleusnya. Sel somatik dari seekor badak sumbu Sumatera kemudian akan dicantumkan bagi menghasilkan klon.

Teknik kedua pula lebih kompleks dengan menghasilkan sperma dan telur dari sel tunjang badak sumbu Sumatera. Benih yang disenyawakan ini kemudiannya akan dimasukkan ke dalam tubuh badak sumbu dari spesis lain yang akan menjadi ibu tumpang.

Sebelum kematian Iman, sampel sel dan tisu telahpun dikutip oleh Borneo Rhino Alliance (BORA). Selain Iman, sel serta tisu dari dua lagi badak sumbu Sumatera telah diambil. Tiada jaminan kedua-dua teknik yang akan digunakan ini akan berjaya tetapi Dr. Muhammad Lokman percaya ia boleh dilakukan kerana ia adalah teknik yang telah digunakan untuk mengklon biri-biri pertama Dolly lebih dua dekad yang lalu.

Selepas ia pupus di Malaysia, badak sumbu Sumatera kini hanya boleh ditemui di Indonesia dan Thailand. Seperti kesemua spesis bad sumbu di dunia, penggunaan tanduknya dalam perubatan tradisional serta kehilangan habitat menyebabkan jumlahnya di dunia semakin terancam.

Komen