Cari @ Amanz

Selain daripada perkhidmatan atas-talian, Google juga dikenali sebagai pembekal perkhidmatan Internet di beberapa kawasan di Amerika Syarikat.

Google baru-baru ini telah meminta kebenaran pihak FCC (Federal Communications Commission) untuk menguji sambungan internet nirwayar menggunakan frekuensi 6GHz di 17 buah negara di Amerika Syarikat.

Menariknya, permintaan mereka juga merangkumi kebolehan menguji sambungan rangkaian tersebut secara rahsia. Google mengatakan bahawa ini bertujuan untuk mengelakkan kekacauan dari segi komersil, kewangan dan sebagainya untuk mereka yang menunggu untuk “memborong” penggunaan spektrum-spektrum ini.

Frekuensi 6GHz dilaporkan membolehkan pengelola perkhidmatan internet untuk memancarkan sambungan internet yang lebih pantas walaupun apabila dibandingkan dengan 5GHz, tetapi isu yang membelenggu spektrum tersebut masih lagi jarak pemancaran data yang jauh lebih pendek berbanding dengan spektrum-spektrum yang digunakan sebelum ini.

Ia cukup sesuai digunakan dalam konteks peranti berhubung (IoT) dan juga sambungan WiFi diantara kenderaan, mungkin untuk pengesanan jarak dekat bagi kenderaan swapandu dan sebagainya.

Google dilaporkan akan menguji sambungan internet menggunakan spektrum 6GHz ini selama 24 bulan untuk menguji keberkesanannya mungkin dengan perkhidmatan-perkhidmatan telekomunikasi lain.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd