Penantian Softbank untuk mencari pembeli bagi syarikat pembangun cip pemprosesan mudah-alih ARM mungkin akan berakhir tidak lama lagi.
Evening Standard melaporkan bahawa Softbank kini sedang berada dalam perbincangan lanjut dengan NVIDIA tentang pengambil-alihan ARM daripada mereka, dan sebuah perjanjian dijangka akan termeterai pada penghujung musim panas ini.
Sebelum ini, Softbank dilaporkan turut mendekati pelbagai syarikat lain seperti Apple, Qualcomm, Samsung dan sebagainya untuk menjual pegangan majoriti mereka keatas ARM, tetapi nampaknya hanya NVIDIA yang benar-benar serius mengenai pembelian tersebut.
Seperti yang ditulis sebelum ini, Softbank dikatakan hanya akan menjual pegangan ARM mereka untuk tanda harga $40 bilion (~RM160 bilion) dan nampaknya NVIDIA bersetuju dengan penilaian tersebut. Pada tahun 2016, Softbank mengambil-alih pegangan majoriti ARM untuk $24 bilion (~RM96 bilion).
Walaupun begitu, terdapat beberapa pihak yang risau mengenai pengambil-alihan ini, khususnya kerajaan United Kingdom yang sebelum ini telah menandatangani perjanjian dengan Softbank untuk mengekalkan pejabat ARM di negara tersebut. Buat masa ini ia masih tidak diketahui lagi jika pejabat ARM akan dipindahkan jika pengambil-alihan oleh NVIDIA ini berjaya.