Beberapa hari lalu, kami telah melaporkan bahawa Huawei dilihat membangunkan CPU mereka sendiri, iaitu Kunpeng 920 untuk digunakan pada komputer desktop keluaran mereka sendiri.

Terkini, imej pengolokan komputer desktop tersebut diperlihatkan melalui laman web pembangun Huawei, dan ia dinamakan Qingyun W510. Menariknya, ia turut dilaporkan bahawa komputer ini akan dikilangkan oleh Foxconn.

Dari segi rekaan, secara jujurnya ia kelihatan seperti sebuah komputer HP Compaq dari zaman 90an yang tiba dengan aksesori papan kekunci, tetikus dan juga paparan skrin.
Ia dikuasakan oleh CPU Huawei Kunpeng 920 dengan 24 teras, kelajuan CPU 2.4GHz yang tidak boleh dicabut dari papan induk dan menggunakan sistem operasi UOS (Unified Operating System) keluaran China sendiri yang juga tidak boleh ditukar.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, komputer Qingyun W510 ini disasarkan penggunaannya oleh badan kerajaan China dan perindustrian sahaja, dan bukan untuk pengguna biasa.
Buat masa ini, ia masih tidak diketahui lagi bilakah Huawei akan memperkenalkan komputer ini secara rasmi.