Oppo Memperlihatkan Teknologi Zum Hibrid Generasi Baharu

Oppo Memperlihatkan Teknologi Zum Hibrid Generasi Baharu

Diterbitkan pada Ogos 19, 2020 oleh .

Sejak tahun lepas, Oppo telah memfokuskan dalam pembangunan lensa zum hibrid. Ia dilihat mampu merakam zum sehingga 10x nirhilang, berbeza dengan banyak peranti lain yang boleh membuat zum optikal, digital atau hibrid biasa. Terkini, selepas lebih setahun Oppo memperkenalkan teknologi itu – mereka sudah bersedia dengan generasu baru pula.

Untuk teknologi baru mereka ini, mereka menjanjikan pengalaman merakam imej nirhilang pada setiap jarak fokus. Menurut Oppo, konsep yang digunakan adalah apa yang anda lihat – itulah yang anda dapat. Modul kamera baharu Oppo ini adalah lensa periskop yang bertindan bersama dengan sensor besar yang ada algoritma pengimejan yang hebat. Modul kamera hibrid ini turut menjanjikan prestasi yang baik dan boleh memberikan hasil imej yang resolusi tinggi.

Oppo menggabungkan tujuh lensa untuk kemampuan optikal dan lensa-lensa ini bekerjasama antara satu sama lain untuk merakam imej berkualiti. Kemampuan zum lensa ini dikatakan mirip dengan lensa DSLR 85mm dan 135mm. Menggunakan bukaan lensa f/3.3 dan f/4.4 ia akan memanfaatkan segala ciri lensa ini. Sensor yang besar menggunakan Fusion iaitu teknologi jarak fokus fusion, penyeragaman sudut pandangan multi-kamera, algoritma adi-resolusi untuk kemampuan jarak fokus 85,, sehingga 280mm.

Menurut Oppo, mereka membina semula modul kamera ini dan menggunakan komponen yang ditempah khas – secara tidak langsung memberikan zum yang lebih jitu, stabil dan hasil imej yang tajam. Hibrid zum yang Oppo bangunkan ini mempunyai nisbah 16:11 dengan output 32MP dengan sokongan pixel binning 4-dalam-1, turut menyokong FHD pada jarak dekat dan jarak jauh dan menyokong format sudut lebar.

Buat masa ini teknologi ini masih lagi dalam pembangunan dan ujian. Tidak pasti lagi bila ia akan diperkenalkan kepada umum dan peranti Oppo yang manakah akan menyertakan lensa ini. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan.



TIPS & ULASAN