Sejak awal bulan Julai, kerajaan China telah mula menutup lubang-lubang kecil didalam undang-undang mereka yang membolehkan permua-permua dipasarkan di negara tersebut tanpa kebenaran kerajaan.
Secara asasnya, semua gedung aplikasi dari luar negara perlu dikelola secara usaha sama dengan syarikat di China, tetapi Apple sebelum ini telah menerima satu persefahaman dengan kerajaan China untuk membenarkan App Store mereka dikelola sendiri oleh syarikat tersebut.
Pada 1 Julai, Apple mengumumkan bahawa mereka akan mula mengeluarkan permua (permainan mudah-alih) yang masih belum menerima pengesahan kerajaan China dari App Store China untuk mencerminkan penutupan ketirisan undang-undang tersebut.
Bermula tarikh tersebut, adalah biasa untuk melihat beberapa ratus permua dibuang daripada App Store kerana melanggar peraturan ini, tetapi pada awal bulan Ogos, nombor tersebut meningkat ke 26,593 dalam masa sehari, dan menjadikan keseluruhan jumlah permua berbayar yang dibuang pada 1 Ogos setinggi 47,000.
Permua yang dibuang daripada gedung tersebut termasuklah permua dengan pembelian dalam aplikasi dan juga yang benar-benar percuma. Sebelum ini, terdapat ketirisan pada undang-undang yang membenarkan aplikasi yang masih belum menerima pengesahan daripada kerajaan China untuk dimuat-naik pada platform Apple App Store.
Untuk memberi perspektif kepada jumlah aplikasi permua yang dibuang dari App Store China, Apple mengatakan bahawa jumlah permua yang masih berada di gedung aplikasi tersebut kini hanyalah separuh daripada apa yang ditawarkan sebelum ini.