Penggunaan kecerdasan buatan dalam bidang perubatan ialah antara perbatasan baharu yang berjaya membantu mempercepatkan proses diagnosis. Terkini Facebook AI dan NYU telah mengumumkan proses melakukan imbasan magnetic resonance imaging (MRI) yang dapat dilakukan dengan lebih pantas dengan bantuan kecerdasan buatan.
Sistem yang diberi nama FastMRI menghasilkan imej yang setanding dengan imej MRI biasa tetapi hanya memerlukan 25% waktu imbasan. Sebuah rangkaian neutral dilatih untuk melihat ribuan imbasan MRI bagi membina pangkalan data imej yang lengkap.
Kecerdasan buatan kemudian digunakan untuk mengisi kekosongan pada data imbasan yang diambil sebelum menghasilkan imej MRI yang lengkap. Dalam ujian klinikal, imej yang diambil oleh FastMRI tidak boleh dibezakan dengan imej MRI biasa oleh ahli radiologi yang mengambil bahagian.
Terdapat beberapa sebab mengapa FastMRI dibangunkan. Pertama sekali ialah ia membolehkan pesakit yang tidak mampu duduk diam seperti kanak-kanak atau mempunyai masalah klaustrofobia untuk menjalani imbasan MRI tanpa perlu menunggu sehingga sejam. Kedua ia juga boleh menyelamatkan nyawa dalam kes serangan jantung kerana imbasan dapat dilakukan dengan lebih pantas.
Pihak Facebook AI dan NYU mempelawa penyelidik dan pembina mesin MRI untuk menggunakan kecerdasan buatan yang dihasilkan menggunakan sumber terbuka ini. Mereka juga sedang mendapatkan kebenaran FDA untuk menggunakan FastMRI pada mesin MRI sedia ada.