Cari @ Amanz

Google Home Hub atau nama barunya adalah Nest Hub, adalah siri paparan pintar dari Google yang terbina dengan Google Assistant. Ia juga mempunyai pembesar suara terbina dan mikrofon agar pengguna mudah berinteraksi dengan pembantu digital. Jika anda memiliki banyak peranti berhubung Google seperti Nest Mini, Google Home, Nest Hub, Nest Hub Max atau lain-lain anda boleh tetapkan sebagai satu kumpulan untuk audio stereo. Selain itu, ia juga boleh ditetapkan secara berkumpulan untuk bilik berbeza, agar mudah untuk membuat penyiaran audio.

Terkini, Google telah menambah sokongan kawalan audio multi-bilik. Ini bermakna jika anda ada Nest Mini di bilik tidur, kemudian ada Nest Hub di ruang tamu dan ada Nest Hub Max di ruang makan – anda boleh kawal aras suara setiap satu peranti berhubung ini secara tersendiri. Sebelum ini, kawalan aras suara hanya boleh dilakukan serentak. Misalnya aras suara sedia ada adalah 80%, jika anda kawal ke 50% kesemua peranti berhubung ini akan berubah. Dengan kemaskini ini, bilik tidur boleh ditetapkan pada aras 20%, ruang tamu mungkin 60% dan ruang makan 40%.

Bukan itu sahaja, pengguna turut boleh pindahkan muzik, video, podcast, di antara peranti berhubung melalui aplikasi Google Home atau sentuhan pada skrin. Kemudian, cadangan muzik yang ingin dimainkan kini boleh dipilih dengan mudah antara YouTube Music dan Spotify Premium dengan seruan “Hey Google, recommemd some music”.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd