HSBC kini telah memperkenalkan sokongan penyelesaian biometrik berasaskan suara untuk para pelanggan Malaysia, dinamakan sebagai Voice ID.
Melaluinya, ia memudahkan lagi urusan teleperbankan, dimana HSBC menggunakan teknologi pengecaman suara untuk mengesahkan identiti – sebelum pengguna melakukan sebarang urusan perbankan yang disokong.
Untuk menggunakannya, pengguna perlu membuat pendaftaran untuk teleperbankan, dan seterusnya menyertai HSBC Voice ID. Anda akan diminta untuk mengulang beberapa frasa dalam mendapatkan pengecaman suara anda.
Sebaik sahaja anda menyertainya, anda boleh menggunakan sokongan teleperbankan dan pengesahan berasaskan suara ini untuk tujuan semakan akaun, pemindahan dana, dan beberapa pembayaran.
Ia dikatakan teknologi ini lebih selamat untuk urusan perbankan – memandangkan kata laluan anda mungkin boleh dicuri, tetapi suara dan gaya percakapan adalah suatu yang lebih sukar untuk ditiru.