Mobvoi Memperkenalkan TicWatch GTX – Jam Tangan Pintar Asas Pertama Mereka

Mobvoi Memperkenalkan TicWatch GTX – Jam Tangan Pintar Asas Pertama Mereka

Diterbitkan pada Ogos 21, 2020 oleh .

Mobvoi mula membina nama apabila memperkenalkan jam tangan pintar yang menjalankan sistem operasi TicWear, yang mana adalah berasaskan Android. Kemudian, selepas menjadi semakin popular dan disokong oleh Google, Mobvoi memperluaskan lagi pasaran mereka dan mula memperkenalkan jam tangan pintar Wear OS pula. Terkini, mereka telah hadir dengan TicWatch GTX – iaitu jam tangan pintar asas pertama mereka.

TicWatch GTX tidak menjalankan sistem operasi Wear OS, sebaliknya adalah sistem operasi tersendiri. Menggunakan jam tangan ini, pengguna perlu memuat turun aplikasi Mobvoi. Jam tangan ini memfokuskan kepada ketahanan bateri, kegunaan gaya hidup, dan hanya ada 14 mod sukan sahaja. Tetapi bagi mereka yang gemar berjoging atau berlari di luar, ia tidak sesuai kerana tiada GPS. Tetapi setakat berlari di gim, ia tidak menjadi masalah kerana masih ada pengimbas nadi. Jam ini turut mempunyai kemampuan pemantauan tidur, membaca notifikasi tetapi tidak boleh membalas serta melihat siapa yang membuat panggilan telefon dan boleh terus menolak panggilan telefon.

Bateri boleh bertahan selama 7-10 hari, ada pelbagai muka jam dan pengguna turut boleh mencipta muka jam sendiri. Bagi yang gemar berenang, ada mod khusus serta tidak perlu risau kerana ada perlindungan kalis air dan debu IP68. Tali jam juga hanya TPU biasa sahaja, tetapi Mobvoi menjanjikan keselesaan. Ada dua butang fizikal disertakan, kawalan gestur tilt-to-wake untuk melihat jam, tiada mikrofon, pembesar suara atau WiFi, saiz skrin adalah 1.28-inci TFT 240×240, kerangka besi, masa pengecasan adalah dua jam dan kapasiti bateri 200mAh.

Jam ini dijana dengan cip RLC8762C (40Mhz) dan dipadankan dengan RAM 160KB serta storan dalaman 16MB. Memang kecil, kerana pengguna tidak boleh muat turun aplikasi dan ia hanya untuk kegunaan sistem sahaja. Harga jualan adalah $53.99, iaitu sekitar RM225. Mobvoi boleh membuat penghantaran ke Malaysia bagi sesiapa yang berminat.



TIPS & ULASAN