Razer Melancarkan Tetikus dan Papan Kekunci Untuk Kegunaan Di Pejabat

Razer Melancarkan Tetikus dan Papan Kekunci Untuk Kegunaan Di Pejabat

Diterbitkan pada Ogos 21, 2020 oleh .

Jenama Razer lebih sinonim dengan aksesori peminat permainan video yang tegar. Tetapi semalam mereka melancarkan Razer Productivity Suite yang terdiri daripada tetikus, papan kekunci dan pelapik tetikus khusus untuk kegunaan di pejabat.

Razer Pro Click ialah tetikus nirwayar dengan rekaan ergonomik bagi mengurangkan tekanan pada pergelangan tangan. Sensor  16,000 DPI yang digunakan memastikan pergerakan jitu mampu dikesan dan lapan butang tambahan boleh diprogramkan mengikut keperluan pengguna.

Ia boleh disambungkan kepada empat peranti serentak menggunakan tambatan bluetooth. Dengan sekali caj Pro Click boleh beroperasi sehingga 400 jam menerusi tambatan bluetooth atau 200 jam menerusi tambatan frekuensi radio 2.4 GHz. Sambungan berwayar boleh dilakukan menerusi kabel mikro USB.

Razer Type Pro pula ialah sebuah papan kekunci nirwayar mekanikal dengan suis Razer Orange yang senyap. Setiap kekunci hadir dengan sokongan lampu LED berwarna putih. Hayat bateri ialah sehingga 12 jam sekiranya lampu diaktifkan. Ia meningkat ke 84 jam dengan bluetooth tanpa lampu atau 78 jam dengan frekuensi radio 2.4GHz tanpa lampu. Terdapat juga kabel bersulam sepanjang 2 meter dengan setiap pembelian.

Akhir sekali ialah pad tetikus Razer Pro Glide dengan permukaan mikro serta yang disulam bagi memastikan kelancaran pergerakan tetikus. Ia bersaiz 360 x 275 x 3mm dengan tapak diperbuat daripada busa tahan gelincir.

Di Malaysia Razer Pro Click dijual pada harga RM519, Razer Pro Type pada harga RM699 dan Razer Pro Glide pula pada harga RM49 sebuah.



TIPS & ULASAN