Cari @ Amanz

Dua minggu lalu Malaysia dikejutkan dengan satu lagi tragedi anak kecil berusia empat tahun yang meninggal dunia selepas ditinggalkan selama 10 jam di dalam kereta. Ia membuka perdebatan mengenai sejauh manakah undang-undang perlu digunakan bagi menghukum ibu bapa yang mungkin alpa sehingga mengakibatkan kematian.

Kenderaan semasa tidak mempunyai sensor yang boleh mengelakkan insiden ini dari berlaku tetapi Tesla dilaporkan sedang membangunkannya. Menurut Reuters, Tesla sedang cuba mendapatkan kelulusan FCC untuk menggunakan sensor gelombang milimeter yang lebih berkuasa di ruang kabin untuk mengesan kanak-kanak dalam kenderaan.

Empat pemancar dan tiga penerima dengan kuasa yang lebih tinggi berbanding yang dibenarkan sekarang mampu merealisasikan sensor mengesan anak yang tertinggal dalam kereta panas dengan lebih jitu.

Tambah Tesla, sensor gelombang milimeter boleh melihat kabin secara tiga dimensi, menembusi selimut yang menutupi anak dan mengesan pernafasan. Ini menjadikannya sensor yang lebih baik berbanding sistem kamera.

Selain itu, sensor yang sama boleh digunakan untuk sistem amaran tali pinggang yang dapat membezakan manusia dengan kargo. Beg udara juga boleh dilaraskan untuk dengan lebih selamat apabila mengesan penumpang adalah kanak-kanak.

Sekiranya dibenarkan menggunakan gelombang milimeter yang lebih berkuasa, Tesla akan memperkenalkan satu lagi inovasi keselamatan unik selepas mereka menjadi pelopor kepada sistem yang mengawal suhu kabin untuk anjing di dalam kabin sebelum ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd