Cari @ Amanz

Harga jualan iPhone 12 tahun ini diramalkan akan lebih tinggi berbanding iPhone 11 dengan pengenalan model dengan sokongan rangkaian 5G. Pada peranti Android perbezaan harga di antara model 4G dan 5G adalah sekitar RM400 sebuah. Bagi mengelakkan kejutan harga yang melampau, Apple perlu mencari jalan mengurangkan kos pengeluaran setiap iPhone 12.

Apple iPhone 11 dan 11 Pro

Menurut Ming-Chi Kuo yang merupakan penganalisa yang cukup terkenal, Apple akan mengurangkan kos menerusi teknologi bateri dan litar baharu. Bateri baharu kelak akan dikurangkan jumlah lapisannya. Menerusi teknik ini kos setiap bateri boleh dikurangkan sehingga 50%. Seterusnya litar akan dikecilkan. Ini pula menurut beliau akan mengurangkan kos sehingga 40% berbanding iPhone 11.

Kos menyertakan teknologi sub-6GHz boleh mencecah $85 (~RM355) manakala teknologi 5G gelombang milimeter pula mencecah $135 (~RM564) untuk setiap iPhone 12. Untuk mengurangkan lagi harga jualan, Apple mungkin tidak akan menyertakan pengecas dengan setiap pembelian seperti yang telah dilaporkan sebelum ini.

Dengan kesemua pengurangan kos ini, harga jualan iPhone 12 5G pastinya masih akan tinggi. Kepada mereka yang menyimpan hasrat membelinya tahun ini anda perlu lebih berjimat cermat bermula dari sekarang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd