Cari @ Amanz

Sejak tahun lepas, banyak syarikat mula berlumba-lumba hadir dengan platform penstriman video tersendiri. Apple ada Apple TV+, Disney dengan Disney+, HBO Max, Peacock TV dan banyak lagi. Belum lagi masukkan platform penstriman video yang sudah lama ada di pasaran seperti Netflix dan Amazon Prime Video. Ada pengguna seperti saya, melanggan banyak platform bagi menikmati lebih banyak kandungan – ada yang pilih satu sahaja. Bagi yang banyak melanggan, ia agak leceh kerana tidak ingat kandungan apa yang ada di platform mana.

Terkini, Google sedang menguji satu fungsi pada Google Chrome yang mengumpulkan kebanyakan platform penstriman video di dalam satu hab. Ia diberi nama sebagai Kaleidoscope. Bergantung kepada platform apa yang anda langgan, ia akan paparkan dalam satu laman. Contoh yang pihak ChromeStory perlihatkan adalah Netflix, Prime Video dan Disney+ digabungkan dalam satu laman sahaja. Pengguna boleh pilih platform apa yang ingin digabungkan dan Google akan tawarkan pengalaman menonton merentas semua peranti milik pengguna.

Fungsi ini masih lagi dalam ujian, jadi apabila cuba menggunakannya notis akan diberikan. Fungsi ini boleh diuji di Chrome Canary melalui flag chrome://kaleidoscope/.

“Chrome Kaleidoscope is not currently available for your account. If you are a Googler check out go/kaleidoscope-not-available for more information.”

Jelas di sini yang ia adalah ujian dalaman dari Google. Fungsi seperti ini bukannya baru, tetapi Google Play Movie, TiVo Stream 4K dan beberapa lagi pernah sahaja menyatukan pelbagai dalam satu laman. Setiap filem atau siri TV akan disenaraikan dalam satu bahagian dan kandungan yang dipilih akan ditunjukkan dari platform mana.

Bila ia akan dilancarkan masih tidak tahu. Tetapi harapnya ia akan diperkenalkan kepada semua dan bukan seperti Play Movie yang terhad di beberapa negara sahaja.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd