Carian
Pemandu Grab Dilaporkan Menggunakan Taktik Keji Untuk Mencuri Pelanggan
August 21, 2020 Nazrin

Jika sebelum ini industri seru-pandu menghadapi masalah akibat polisi kerajaan, terkini nampaknya ia menghadapi isu dalaman akibat tindak-tanduk para pemandu industri itu sendiri.

Free Malaysia Today melaporkan bahawa terdapat sekumpulan pemandu Grab yang menggunakan aplikasi yang telah diubahsuai dan perisian-perisian untuk mencuri pelanggan daripada para pemandu yang mendapatkan permintaan memandu secara sah.

Menggunakan aplikasi-aplikasi ini, pemandu tidak berhemah tersebut boleh mengambil-alih tempahan yang diterima pemandu lain, dan kemudiannya membawa pelanggan tersebut yang tidak sedar akan sebarang isu yang berlaku disebalik pertukaran pemandu tersebut.

Daripada perspektif pihak penumpang pula, mereka hanya menyangkanya sebagai pemandu yang didapati sebelum ini telah membatalkan permintaannya.

Seorang jurucakap Grab berkata bahawa syarikat tersebut sedar akan masalah yang sedang membelenggu para pemandu mereka, dan sedang dalam proses mengetatkan keselamatan sistem mereka untuk memastikan ia tidak berulang.

Jurucakap tersebut mengatakan lagi bahawa penggunaan perisian-perisian ini akan mengkompromi data kedua-dua pemandu dan penumpang dan berkemampuan untuk menyebabkan data tersebut jatuh ke tangan yang salah.

Grab juga berkata bahawa pemandu-pemandu yang didapati menggunakan perisian mencuri tempahan pelanggan ini akan digantung keahliannya daripada platform pemandu Grab.

Komen