Carian
Apple Menghalang Kemaskini WordPress Supaya Memaksa Ia Menyertakan Pembelian Dalam-Aplikasi
August 22, 2020 Aman

Dengan pelbagai komen terhadap bagaimana Apple mengawal dan memonopoli kedai aplikasi App Store mereka, kini “perang” berkenaan turut disertai oleh pengasas WordPress.

Melalui perkongsian terbaru, Matt Mullenweg, pengasas WordPress mengatakan Apple menghalang aplikasi WordPress percuma mereka dikemaskini di App Store.

Ini sekaligus menghalang pihak WordPress daripada menawarkan kemaskini, menambah ciri baru, mahupun membuang pepijat pada aplikasi berkenaan.

Ia dikatakan, Apple meminta pihak WordPress untuk menambah sokongan pembelian dalam-aplikasi untuk membeli pelan WordPress.com pada aplikasi berkenaan sebelum ia dibenarkan diterbitkan kembali.

Apa yang menyedihkan adalah kerana aplikasi WordPress di iOS tidak menawarkan sebarang pembelian melaluinya. Ia sekadar memudahkan pengguna untuk membina dan menguruskan laman web menggunakan iPhone atau iPad – secara percuma.

Perkara ini menimbulkan lebih kemarahan terhadap Apple, disebabkan salah guna mereka atas kuasa monopoli di App Store yang menekan pihak untuk mengikutinya.

Matt Mullenweg turut mengatakan mereka tidak akan melawan perkara berkenaan lagi, dan akan menambah ciri pembelian dalam aplikasi pada penawaran mereka.

Apa pun, hal ini akan membawa kepada pengalaman yang kurang baik kepada pengguna WordPress.org – kerana akan dipaparkan dengan pelan yang tidak memfokuskan mereka. Perkara ini mungkin membuatkan ramai pengguna WordPress seluruh dunia lebih membenci Apple kerana kaedah kawalan mereka di AppStore.

Komen