Berbaki sekitar dua hari lagi sebelum pelancaran rasmi untuk Asus Zenfone 7, kini imej sebenar yang kononnya memperlihatkan peranti ini didakwa telah tertiris. Imej yang muncul ini secara tidak langsung sedikit sebanyak memberi gambaran kasar mengenainya.

Dari segi reka bentuk, model ini dilihat masih ‘meminjam’ rekaan pada pendahulunya – rekaan kamera boleh flip dan panel belakang dengan penjenamaan menegak. Akan tetapi, masih terdapat sejumlah perubahan menarik padanya. Melaluinya, kita dapat melihat sokongan kamera di belakang kini disertakan dengan tiga lensa. Ini adalah peningkatan berbanding pendahulunya yang hanya menggunakan dwi kamera utama.
Khabar angin sebelum ini mengatakan kamera ini berkemungkinan besar dilengkapi gabungan lensa utama 64-Megapixel IMX686 + 12-Megapixel (sudut-lebar) + ToF. Seterusnya, jika diteliti juga tiada lagi pengimbas cap jari fizikal yang dipasang pada panel belakang peranti. Tiada maklumat lain mengenai spesifikasi peranti yang dikongsi menerusi hantaran berkenaan.

Namun begitu, peranti ini dipercayai hadir dengan pemproses Snapdragon 865, panel AMOLED bersama kadar segar semula standard 60Hz dan berkemungkinan diperkenalkan dalam dua model yang berbeza. Adakah ianya benar? Segalanya akan terjawab pada pelancaran rasmi pada 26 Ogos kelak.