Carian
Motorola Moto G9 Dilancarkan Dengan Snapdragon 662 Dan Bateri 5000mAh
August 24, 2020 Amy Maizuraa

Selepas beberapa maklumat tertiris dan spekulasi mengenai Motorola Moto G9 membanjiri media sosial. Akhirnya, peranti ini telah diperkenalkan secara rasmi di India sebentar tadi dengan sejumlah penawaran spesifikasi yang menarik. Ia juga merupakan peranti pintar pertama di pasaran India yang menggunakan pemproses Snapdragon 662.

Motorola Moto G9 menggunakan skrin bersaiz 6.5-inci HD+ dengan rekaan paparan bertakuk kecil. Paparan ini juga menggunakan Corning Gorilla Glass 3 sebagai perlindungan utama. Untuk spesifikasi dalaman, Motorola Moto G9 digabungkan dengan sokongan memori 4GB RAM dan ruangan storan 64GB. Ruangan ini juga boleh dikembangkan sehingga had maksimum 512GB melalui kad microSD.

Tetapan kameranya pula dilengkapi tiga kamera belakang dengan konfigurasi lensa 48-Megapixel (f/1.7) + 2-Megapixel (kedalaman) + 2-Megapiel (makro). Kamera swa-foto pula adalah sebesar 8-Megapixel. Seterusnya melengkapi peranti juga adalah bateri besar 5,000mAh dengan pengecasan pantas 20W menerusi port USB-C. Motorola Moto G9 ditawarkan pada harga Rs.11,499 (~RM642).

Komen