Cari @ Amanz

Antara penyebab berlakunya masalah pemanasan global ialah peningkatan gas karbon dioksida di udara selari dengan penebangan hutan yang semakin rakus. Selama ini imbangan gas karbon dioksida dikawal oleh tumbuh-tumbuhan yang mengitarnya semula menjadi gas oksigen dan cecair. Penyelidik di Universiti Cambridge telah mengumumkan kejayaan mereka menghasilkan sistem fotosintesis buatan manusia yang mengubah karbon dioksida menjadi bahan api yang mesra alam.

Bahan mangkin yang sensitif kepada cahaya mengubah karbon dioksida, air cahaya matahari kepada oksigen dan asid formik (HCO2H). Asik formik ini kemudiannya boleh menjadi asal kepada bahan api yang lebih mesra alam ataupun dijadikan bahan mentah untuk menghasilkan gas hidrogen.

Di dalam ujian makmal, lapisan fabrik seluas 20 sentimeter persegi disadur dengan bahan mangkin cahaya berasaskan kobalt. Penyelidik yakin ia fabrik yang sama boleh dihasilkan pada saiz yang lebih besar bagi meningkatkan kemampuan menghasilkan bahan api. Kesemua ini dilakukan tanpa input tenaga luaran dan sekadar bergantung kepada cahaya matahari sepenuhnya.

Kajian akan diteruskan bagi mengkomersialkan sistem fotosintesis buatan manusia ini. Ini bukan kali pertama sistem yang sama dibangunkan oleh Universiti Cambridge. Pada tahun 2016 mereka mengumumkan kejayaan menghasilkan daun buatan manusia yang juga mampu melakukan fotosintesis bagi menghasilkan bahan api yang dipanggil syngas.

Sistem terkini ini adalah kesinambungan kepada kajian yang telah dilakukan sejak sedekad lalu oleh Cambridge bagi mencari sumber bahan api mesra alam dan lestari bagi kegunaan manusia di masa hadapan. Kertas kajian telah diterbitkan di dalam jurnal Nature Energy.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd