Caviar seringkali hadir dengan versi mewah pelbagai telefon pintar berjenama seperti Samsung dan Apple. Peranti mereka kebiasaannya akan disalut emas, perak atau berlian. Terkini, mereka hadir dengan empat versi mewah untuk Samsung Galaxy Note20 Ultra pula – yang mana mempunyai tema rekaan yang berbeza iaitu Hagia Sophia, Parthenon, Forbidden City dan St. Basil’s Cathedral.
Warna gangsa atau Mystic Bronze, telah dipilih sebagai warna asas untuk versi mewah dari Caviar ini. Bahan digunakan pada peranti ini adalah marmar dan emas ros. Marmar itu membawa maksud rekaan seni bina monumental dan panel emas putih pula mengekalkan elemen asal Mystic Bronze tetapi lebih mewah dan khusus untuk bangsawan.
Versi Hagia Sophia menggunakan panel marmar hitam dan emas ros yang mempunyai ukiran lebih elegan. Ia diambil inspirasi dari Masjid Hagia Sophia di Istanbul. Hanya terdapat 99 unit sahaja dan harga jualannya adalah $5830, iaitu sekitar RM24,311. Seterusnya adalah versi St. Basil’s Cathedral, yang menggunakan marmar merah dan ukiran istimewa mengikut perhiasan di dalam katedral ini. Ia juga adalah versi yang paling mahal iaitu $6260, yang mana adalah sekitar RM26,104.
Ketiga adalah Forbidden City, yang mana menggunakan marmar hijau – inspirasi dari Kota Terlarang di Beijing. Pada bahagian emas ros pula, Caviar menggunakan ukiran yang mempunyai ciri rekaan The Imperial Palace dan harga jualannya adalah $6060, iaitu sekitar RM25,270. Akhir sekali adalah Parthenon, yang juga yang paling murah – iaitu $5750, sekitar RM23,977. Warna marmar adalah putih dan kelabu cair, manakala ukiran pada emas ros adalah inspirasi dari zaman Yunani – iaitu bangunan kuil dewi Athena Parthenos yang mewakili tiang-tiang bangunan tersebut.
Kesemua peranti ini hanya ada 99 unit sahaja dan Caviar turut boleh menghantar ke Malaysia bagi yang berminat – turut disediakan adalah jaminan 1 tahun. Bagi yang ada lebihan wang sekitar RM20,000 – apa salahnya beli untuk koleksi.