OnePlus tidak asing dengan aksesori audio. Malah sejak OnePlus One lagi mereka sudah ada kolaborasi dengan JBL, melalui OnePlus One JBL Edition. Kemudian jenama tersendiri mereka bermula dengan OnePlus Bullets yang berwarna putih/perak, OnePlus Icon set fon telinga berwayar mewah, OnePlus Bullets 2 yang mempunyai kualiti hebat pada harga bajet, OnePlus Bullets 2T untuk peralihan kepada audio USB-C serta beberapa set fon telinga nirwayar jenis neckband seperti Bullets Wireless, Bullets Wireless 2 dan Bullets Wireless Z.
Melalui OnePlus Buds yang dilancarkan bersama-sama dengan OnePlus Nord pada bulan lepas, ia adalah TWS atau set fon telinga nirwayar sebenar pertama mereka. Menjadi persoalan, adakah ia mempunyai kualiti audio yang enak? Kualiti binaan pula macam mana dan adakah ia berbaloi untuk dimiliki? Selepas menggunakan OnePlus Buds untuk beberapa minggu, kami sudah ada jawapannya untuk anda. Ini adalah artikel ulasan kami, mengenai aksesori audio baharu OnePlus.
Spesifikasi & Rekaan
OnePlus Buds adalah TWS asas daripada OnePlus. Ia cuba menandingi Apple AirPods pertama, yang mana dijual pada harga lebih murah. Bahan binaan adalah plastik pada pod pengecasan dan fon telinga itu sendiri, tetapi terdapat besi di bahagian engsel dan turut dipadankan dengan magnet untuk menutup pod ini – agar ada satu perasaan yang memuaskan. Pada bahagian bawah, turut terdapat lingkaran besi di port USB-C untuk kemasan yang kelihatan lebih premium. Di bahagian belakang pula ada satu butang untuk tujuan membuat penetapan semula dan di hadapan pula adalah lampu LED untuk memberi tahu status tambatan.
Kemasan keseluruhan pod pengecasan ini adalah matte yang mana boleh mengelak dari kotoran cap jari. Tetapi buka sahaja pod ini, kemasan plastik berkilat akan kelihatan. Di dalamnya terdapat magnet terbina seperti yang disebutkan di perenggan atas tadi. Setiap fon telinga akan disimpan di dalamnya untuk mengecas, yang mana turut menggunakan kaedah pengecasan bermagnet melalui pin di bawah setiap fon telinga. Bahan binaan plastik ini menyebabkan fon telinga rasa ringan. Memang benar ringan itu sesuatu yang baik, tetapi apabila di dalam telinga – disebabkan terlalu ringan ia kurang selesa dan mudah terkeluar dari telinga.
Saiz OnePlus Buds ini juga kecil, dengan dimensi pod pengecasan hanya 52.21 x 59.62 x 24.4 mm dan dimensi fon telinga 18.81 x 16.13 x 37.89 mm. Berat keseluruhan pula adalah tidak sampai 42 gram. Pemacu audio yang digunakan adalah 13.4 mm jenis dinamik dan rekaan adalah jenis terbuka dan bukan jenis dalam telinga. Bagi memastikan tiada masalah masa pendam yang teruk, OnePlus menggunakan Bluetooth 5.0 dan teknologi tambatan Fast Pair. Saiz bateri adalah 35mAh untuk setiap fon telinga dan 420mah untuk pod pengecasan.
Tidak dinafikan yang rekaannya mirip AirPods. Tetapi, OnePlus menyertakan elemen rekaan Bullets mereka agar nampak sedikit lain. OnePlus Buds ini mempunyai banyak pilihan warna iaitu putih, kelabu dan juga biru. Unit ulasan kami ini adalah berwarna biru atau nama lainnya adalah Nord Blue.
Kualiti Audio
Sebagai pengguna yang sudah biasa dengan aksesori audio OnePlus dan pernah secara peribadi menggunakan OnePlus Icon serta OnePlus Bullets Wireless 1 dan 2 – iaitu tiga produk audio mereka yang paling mahal – OnePlus Buds pada saya mempunyai kualiti audio yang asas sahaja. Ia tidak teruk, tapi biasa sahaja dan saya percaya OnePlus boleh berikan yang lebih baik. Malah pada pengalaman saya sendiri, OnePlus Bullets 2T mempunyai kualiti yang lebih enak. Ini mungkin kerana, OnePlus Buds adalah fon telinga jenis terbuka – jadi ia tidak mempunyai pengalaman yang lebih mengasyikkan.
Dari segi soundstage ia tidak cukup luas dan rasa seperti bermain-main di kepala sahaja. Ini menjadikan imej audio 3D itu tidak cukup baik dan seakan fokus kepada satu bahagian sahaja. Disebabkan itu, pengalaman pendengarannya adalah kurang memuaskan. Alunan muzik yang dihasilkan pada OnePlus Buds juga terlampau fokus kepada trebel, yang mana di bahagian ini bergantung kepada personaliti pengguna. Saya lebih gemar bunyi yang lebih seimbang, bermakna bass mencukupi, serta mid dan highs yang baik. Tetapi dengan fokus kepada trebel sahaja, instrumen dengan alunan yang sepatutnya tinggi – ia seakan jatuh ke bawah dan rasa terlampau tenang dan muzik yang didengari tiada dinamik atau dengan kata lain tidak memuaskan.
Untuk bass pula, ia mempunyai mid-bass yang mempunyai dentuman yang baik – yang mana apabila mendengar muzik-muzik pop seperti dari Taylor Swift rasa seronok. Disebabkan sub-bass adalah lemah, ia menjadikan bunyi dentuman yang ada itu tidak cukup dalam dan bass pada TWS ini sedikit melemaskan. Tetapi dari segi vokal, ia masih terang dan cukup jelas. Untuk mids, yang mana fokus kepada vokal – suara penyanyi wanita atau lelaki rasa lembut, jelas dan ketara. Sedikit mengecewakan yang vokal adalah tidak natural dan nada yang tidak cukup tinggi.
Untuk highs pula, apabila penyanyi menyanyi lagu dengan alunan yang tinggi ia seakan terus hilang. Ini membuatkan tiada impak menarik dari segi vokal serta instrumen. Contoh, instrumen seperti simbal – jika ada sedikit lagi impak atau istilah dalam dunia audio adalah sparkle ia pasti lagi enak didengari.
Untuk peranti OnePlus atau peranti Android lain, ia akan mempunyai pilihan HD audio atau AAC. Mengaktifkan mod ini adalah sangat digalakkan, kerana akan meningkatkan kualiti audio. Jika tidak, ia akan terasa seperti TWS yang murah dan kualiti audio yang akan membuatkan anda rasa menyesal. Kualiti panggilan telefon juga adalah tidak enak, menurut penerima panggilan – suara adalah kerap berdengung dan kurang jelas. Tetapi dari bahagian pemanggil, suara si penerima adalah cukup jelas.
Ketahanan Bateri
Bateri pada pod pengecasan adalah 420mAh dan pada setiap fon telinga adalah 35mAh. Menurut OnePlus, ia boleh memainkan muzik secara berterusan selama 7 jam, membuat panggilan telefon selama 4 jam dalam sekali cas. Tetapi jika dicampur dengan bateri pada pod pengecasan, ia mampu bertahan selama 30 jam. Masa pengecasan penuh adalah 80 minit, tetapi ada sokongan pengeasan pantas – yang mana 10 minit cas boleh bertahan selama 10 jam untuk kedua-dua fon telinga dan pod. Tetapi jika fon telinga sahaja dicas selama 10 minit, 2 jam masa penggunaan boleh bertahan.
Saya sendiri dapat mengesahkan ketahanan bateri OnePlus Buds ini. Sepanjang beberapa minggu menggunakannya, saya langsung tidak menghadapi apa-apa masalah pada TWS ini. Bateri memang benar-benar tahan lama dan bukan sesuatu yang perlu saya risaukan. Lagi-lagi dengan sokongan USB-C, ia amat memudahkan diri saya. Apa yang mengecewakan adalah, ia tidak mempunyai sokongan pengecasan nirwayar – yang mana sepatutnya adalah standard untuk TWS berjenama.
Kawalan & Fungsi Pintar
Fungsi menarik pada OnePlus Buds ini adalah mod masa pendam rendah, iaitu 103ms. Tetapi, ia hanya berfungsi dalam mod Fnatic – iaitu mod permua pada peranti OnePlus. Mod Fnatic pula hanya ada pada peranti OnePlus 6 ke atas sahaja. Jika menggunakan OnePlus Buds ini pada peranti Android lain atau peranti OnePlus 5T dan ke bawah – akan ada sedikit masalah sela masa. Masalah sela masanya bukanlah yang teruk, mendengar muzik tidak menjadi masalah. Begitu juga menonton video, tidak kira pada YouTube atau Netflix – ia tidak begitu menjengkelkan. Tetapi jika anda teliti, video dan audio memang ada sela masa.
Kawalan yang terdapat pada OnePlus Buds adalah yang paling mengecewakan. Ia mempunyai kawalan sentuhan pada permukaan fon telinga tersebut. Tetapi hanya terhad kepada kawalan dua tap sahaja. Kawalan ini walau bagaimanapun hanya boleh ditetapkan pada peranti OnePlus sahaja. Daripada menghabiskan kos untuk menyertakan sensor sentuhan yang terhad, lebih baik gunakan butang fizikal yang boleh ditekan. Untuk menjeda muzik pula, ia mempunyai sensor apabila tanggalkan daripada telinga – muzik akan dijeda. Fungsi ini adalah sangat pantas dan menarik, tetapi kekal leceh kerana jika ingin berbual dengan seseorang perlu kerap ditanggalkan.
Lebih menarik adalah sokongan Fast Pair, yang mana peranti Android 10 boleh menambat OnePlus Buds ini seakan AirPods pada iPhone. Buka sahaja pod pengecasan, peranti akan paparkan notifikasi untuk pengguna tekan untuk tambat. Pada beberapa peranti, ia akan ambil masa sedikit lama untuk tambat – tetapi pada peranti OnePlus ia sedikit lebih pantas. Sebaik sahaja selesai ditambat, mana-mana peranti Android akan kekal pantas untuk berhubung antara satu sama lain.
Konklusi
Disebabkan ini adalah pertama kali OnePlus hadir dengan TWS, saya mungkin boleh memaafkan kekurangan yang ada pada OnePlus Buds. Tetapi, tiada alasan untuk OnePlus tidak menyertakan kualiti audio yang baik – kerana mereka ada pengalaman. Dari segi kualiti audio, ia bukannya yang terbaik dan masih ada banyak pilihan di luar sana yang jauh lebih murah dan lebih berkualiti. Harga jualan rasmi di Malaysia, RM399 adalah sangat mahal untuk set TWS yang asas.
Tetapi, pada mereka yang menginginkan ekosistem OnePlus seperti Fast Pair dan mod Fnatic – ini adalah pilihan baik. Bukan semua TWS yang berada di pasaran menyokong mod tambatan pantas ini. Jelas di sini, OnePlus Buds adalah untuk peminat OnePlus dan pengguna yang ingin pengalaman yang seimbang. Jika anda ingin mencari TWS yang kualiti audio tinggi, OnePlus Buds bukan pilihan baik. Tetapi jika ingin juga aksesori audio OnePlus, Bullets Wireless Z adalah yang paling murah – nirwayar jenis neckband dan adalah jenis dalam telinga.
Pada hemat saya, OnePlus mungkin hanya mencuba pasaran terlebih dahulu. Harapnya model akan datang adalah jenis dalam telinga dan juga mempunyai sokongan pembatalan hingar dan pengecasan nirwayar.