Fitbit, syarikat peranti kecergasan yang masih sedang menunggu pengambilalihan oleh Google telah melancarkan tiga peranti kecergasan baru dibawah nama Fitbit Sense, Fitbit Versa 3 dan juga Fitbit Inspire 2.
Peranti paling premium diantara ketiga-tiga peranti boleh-pakai ini ialah Fitbit Sense yang dilengkapi bukan sahaja dengan sensor-sensor biasa yang dapat dilihat pada peranti boleh-pakai yang lain.

Ia turut merumahkan sensor ECG (Electrocardiogram) dan EDA (Electrodermal Activity) yang mampu mengesan perubahan pada kadar degupan jantung, tekanan darah, perubahan pada kadar pengaliran elektrik melalui tahap peluh yang dikeluarkan badan anda.
Fitbit Sense juga boleh mengukur tahap tekanan (stress level) anda dengan skor tekanan Fitbit sendiri daripada markah 1 hingga 100, dengan nilai lebih tinggi menandakan kesihatan mental anda semakin sihat.
Pengesan ECG dan EDA Fitbit Sense ini juga cukup berkuasa untuk mengesan penyakit-penyakit seperti AFib yang membelenggu berpuluh juta orang di seluruh dunia.
Dalam pada itu, Fitbit menjanjikan jangka-hayat bateri selama enam hari untuk peranti Fitbit Sense ini, dimana ia boleh dikatakan diantara peranti boleh-pakai dengan ketahanan bateri yang paling lama.

Fitbit Versa 3 memperlihatkan penambahbaikan ketara kepada siri Fitbit Versa yang sangat popular dikalangan pengguna Fitbit. Versa 3 kini dilengkapi dengan sistem GPS yang membolehkan pengguna untuk meninggalkan peranti pintar mereka apabila mereka keluar melakukan aktiviti riadah.
Fitbit juga telah menambahkan pelbagai ciri baru pada Versa 3 ini, termasuklah sokongan untuk Amazon Alexa dan Google Assistant yang boleh digunakan untuk menetapkan peringatan untuk aktiviti sukan, menenangkan diri dan untuk waktu tidur.
Ia juga dimuatkan dengan sokongan untuk cara pembayaran Fitbit Pay, yang menariknya telahpun memasuki pasaran tempatan pada awal tahun ini. Dengan ciri ini, anda boleh membuat bayaran nirwayar tanpa perlu menyentuh apa-apa terminal, khususnya di tempat-tempat awam.
Sama seperti Fitbit Sense, Versa 3 menggunakan palam pengecasan yang sama, dan kedua-dua peranti ini mempunyai jangka hayat bateri enam hari, kecuali jika anda menggunakan ciri GPS, dimana ia akan bertahan selama lima jam.
Untuk tujuan riadah, kedua-dua Fitbit Sense dan Versa 3 ini turut dimuatkan dengan lebih dari 20 mod aktiviti untuk pelbagai jenis sukan.
Apabila dipadankan dengan Fitbit Premium, boleh memberikan anda lebih banyak data mengenai aktiviti-aktiviti harian, riadah dan sukan anda jika anda ingininya untuk menjadikan diri anda lebih sihat.

Fitbit Inspire 2 pula ialah peranti pengesan nadi bagi mereka yang hanya ingin mendapatkan maklumat mengenai aktiviti-aktiviti riadah dan sukan mereka tanpa memerlukan ciri-ciri tambahan seperti pengimbas ECG, GPS dan sebagainya.
Fitbit Inspire 2 juga merupakan peranti pengesan nadi dengan jangkahayat bateri paling lama, iaitu 10 hari dengan satu pengecasan penuh, dan tidak seperti Fitbit Sense dan Versa 3 yang menerima langganan Fitbit Premium selama 6 bulan sahaja, Inspire 2 akan menerima langganan premium tersebut selama setahun.
Menurut Fitbit Malaysia, Fitbit Sense, Versa 3 dan Inspire 2 dijangka akan tiba di pasaran tempatan pada bulan Oktober kelak. Tanda harga ketiga-tiga peranti ini ditetapkan pada harga berikut:
- Fitbit Sense – RM1498
- Fitbit Versa 3 – RM1148
- Fitbit Inspire 2 – RM498