Huawei kini dilaporkan telah menjadualkan persidangan Huawei Developer Conference 2020 (HDC 2020) bermula 10 – 12 September ini. Ia berikutan tersebarnya sebuah hantaran oleh pihak Huawei menerusi laman Weibo yang memperlihatkan poster acah untuk persidangan tersebut.

Berdasarkan poster dikongsi, apa yang menarik perhatian ramai adalah jenama ini dilihat mempunyai perancangan untuk pengenalan sejumlah produk baharu ketika persidangan tersebut. Ia mungkin termasuklah komputer riba, jam pintar dan aksesori audio terbaru. Dalam perkembangan lain, HDC 2020 juga mungkin memperlihatkan Huawei melancarkan sistem operasi terkini seperti HarmonyOS 2.0, EMUI 11 dan HMS Core 5.0 dalam usaha menyediakan pengalaman peranti yang lebih lancar.
Imbas kembali, ketika persidangan HDC 2019 sebelum ini Huawei telah memperkenalkan sistem operasi yang dibangunkan oleh mereka sendiri iaitu HarmonyOS atau juga dikenali sebagai Hongmeng OS. Tidak ketinggalan, mereka turut memperkenalkan EMUI 10 yang hadir dengan sejumlah penambahbaikan menarik. Pada masa sama, Huawei turut membentangkan pelan hala tuju pembangunan HarmonyOS yang mendedahkan di mana sistem operasi HarmonyOS 2.0 boleh disesuaikan pada pelbagai peranti termasuk PC dan aksesori boleh pakai.