Beberapa spekulasi mengenai iPhone 12 mula tertiris ke arena web sejak beberapa minggu ini dengan pelancaran peranti dipercayai akan berlaku pada pertengahan September. Hari ini Jon Prosser yang kerap menjadi sumber maklumat iPhone yang boleh dipercayai memuat naik tangkapan layar yang mengesahkan beberapa ura-ura yang didengari sebelum ini.
Tangkapan layar adalah dari sebuah prototaip iPhone 12 menurut beliau. Dapat dilihat tetapan untuk kadar segar semula boleh ubah 120Hz dan juga menggunakan LiDAR untuk mempercepatkan proses pemfokusan pada kamera utama,

Prosser juga berkata takuk pada bahagian dahi kelihatan lebih kecil kerana ketinggian dikurangkan serta penggunaan skrin lebih besar dengan bezel yang lebih kecil. Kamera utama akan mempunyai rekaan lensa yang 10% lebih kecil berbanding iPhone 11 Pro Max bagi memuatkan sensor LiDAR. Akhir sekali Face ID akan dapat digunakan pada sudut lebih lebar dan mampu mengesan waja walaupun diletakkan di atas meja.

Jon Prosser mempunyai rekod yang baik dalam meniriskan maklumat mengenai produk Apple. Maklumat hari ini menguatkan lagi ura-ura yang turut didedahkan oleh Ming-Chi Kuo. Kesemua ini dan banyak lagi telahpun kami bincangkan di dalam video Sembang Lebat terkini yang boleh anda tonton di bawah.