Cari @ Amanz

Kami tahu ramai di kalangan pembaca Amanz sudah agak berusia dan menggemari produk dengan rekaan retro. Bagi mereka yang merindui permain kaset, P18ty ialah sebuah lagi aksesori audio yang ingin mempopularkan semula rekaan seakan Walkman.

Yang membuatkannya menarik ialah P18ty menggunakan telefon pintar sebagai ganti kaset. Terdapat ruang khas di dalam P18ty untuk meletakkan telefon pintar pengguna. Apabila dimasukkan, pengguna boleh menggunakan butang fizikal P18ty untuk mengawal permainan muzik.

Seperti Walkman sebenar ia mempunyai bicu audio 3.5mm untuk menyambungkan fon kepala, input audio dan juga pembesar suara terbina. Dengan bateri sebesar 3200 mAh, P18ty juga boleh berfungsi sebagai sebuah powerbank sekiranya diperlukan.

Tiada sambungan fizikal diperlukan apabila peranti dimasukkan ke dalam P18ty. Sebaliknya kedua-dua peranti berhubung menerusi tambatan bluetooth. Pada waktu ini P18ty sedang mengumpul dana menerusi laman biayasama Kickstarter dan boleh disokong pada harga CHF 93 (~RM 427) sebuah. Ruang dalamannya adalah cukup besar untuk pelbagai peranti Apple iPhone dan Samsung Galaxy.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd