Pelayar web Google Chrome yang dulu popular, kini mempunyai pesaing yang sengit – iaitu Microsoft Edge. Dalam pengalaman penggunaan kami, Edge lebih pantas untuk digunakan dan ringan berbanding Chrome yang masih berat dan memakan banyak RAM. Demi menarik kembali hati ramai pengguna, Google Chrome 85 telah hadir dengan pelbagai kemaskini menarik.
Pertama, Chrome 85 ini hadir dengan PGO iaitu Profile Guided Optimization yang mana menjanjikan peningkatan prestasi 10% lebih pantas. Ini bermakna, jika ada banyak tab dibuka prestasi akan lebih pantas serta masa memuat sesuatu laman web akan jelas rasa lebih laju. Kemudian, pada versi beta turut terdapat tab throttling yang mana akan memfokuskan memori dan kuasa memproses kepada tab yang sedang digunakan berbanding diedarkan secara sama rata.
Kedua, tab kini akan dikumpulkan mengikut topik, tugasan atau kepentingan. Melalui ciri ini, antaramuka Google Chrome akan lihat lebih kemas dan teratur. Menurut Google, ini adalah ciri yang paling ramai inginkan. Ketiga, tab kini mempunyai sokongan prebiu yang mana jika ada banyak tab dibuka pengguna boleh prebiu kandungan tab tersebut.
Akhir sekali, peranti Android kini menyokong perkongsian laman web melalui kod QR. Bukan itu sahaja, tab juga kini mesra sentuhan untuk tablet yang mana mempunyai tab yang lebih interaktif. Menariknya, setiap tab juga semakin pintar yang mana ia boleh mencadangkan pengguna tab mana yang ingin dibuka. Tidak lupa juga yang Google kini boleh mengisi borang pada PDF sebelum ia dimuat turun.