Carian
Maklumat Yang Dikumpul Untuk Pengesanan Kontak Sepanjang PKP Perlu Dihapuskan Selepas Enam Bulan
August 26, 2020 Effi Saharudin

Sejak bermulanya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, kerajaan mewajibkan pemilik premis perniagaan dan komersial untuk mengumpul maklumat pengunjung. Ini adalah bagi memudahkan proses pengesanan kontak sekiranya pesakit dikesan di kawasan tersebut.

Ramai yang memilih menggunakan aplikasi MySejahtera dan SELangkah bagi mempercepatkan proses mendaftar. Tetapi data juga dikumpul di dalam buku fizikal bagi pengguna yang tidak mempunyai telefon pintar.

Di dalam sesi soal jawab di Parlimen hari ini, timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin mengesahkan kesemua data pengunjung yang dikumpul perlu dihapuskan enam bulan selepas tamatnya PKP. Data peribadi yang dikumpul perlu dilupuskan bagi mengelakkan ia disalahguna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Beliau juga mendedahkan sebanyak 15.1 juta pengguna telah berdaftar menerusi aplikasi MySejahtera yang merupakan aplikasi pengesanan kontak utama negara. Dengan pangkalan data yang besar ini, keselamatannya perlu dijamin bagi mengelakkan insiden ketirisan data 46.2 juta nombor telefon yang berlaku tiga tahun dahulu dari berulang.

Komen