Mozilla baru-baru ini telah hadir dengan aplikasi pelayar web serba baru untuk Android. Ia adalah satu kemaskini besar yang menjadikan keseluruhan pelayar web ini lain, mempunyai banyak ciri dan fungsi baru dan paling penting lebih memfokuskan kepada keselamatan.
Berikut adalah perkara-perkara baru yang diperkenalkan untuk pengguna Android;
Sekuriti & Privasi

Pelayar web ini kini mempunyai perlindungan terbaik yang telah diaktifkan secara lalai iaitu Enhanced Tracking Protection atau ETP. Ia adalah bagi mengelak dari laman web menjejak pengguna. Jika ingin lebih ketat, pengguna boleh tetapkan dengan sendiri, kerana mod sekuriti yang lalai adalah Standard.
Firefox Focus, iaitu pelayar web mereka yang memfokuskan privasi serta sekuriti kini diimplementasikan dalam pelayar web ini. Antaranya adalah Private Mode, yang mana mudah diakses dari pelancar peranti Android. Melalui mod ini, pengguna akan sentiasa berada dalam mod inkognito.
Rupa & Produktiviti
Antaramuka pelayar web dalam kemaksini Firefox Daylight ini membawakan rekaan yang lebih kemas, mudah dikendali dan pengguna lebih bebas. Pengguna boleh tetapkan bar URL di bawah yang mana lebih mudah digunakan pada peranti bersaiz besar. Firefox turut memperkenalkan Collections, iaitu fungsi memastikan tugasan pengguna teratur, mudah dikongsi ke peranti lain, memudahkan ibu bapa membuat “koleksi” khas untuk kanak-kanak yang mana kandungan adalah lebih terkawal, serta memperkenalkan mod gambar-dalam-gambar.

Tema gelap turut hadir dalam kemaskini ini, yang mana bergantung kepada pengguna jika ingin menggunakannya ataupun tidak. Tetapi mod automatik turut terbina, agar ia mengikut tema pada sistem peranti. Sokongan ekstensi kini lebih dioptimasikan, yang mana Mozilla menggalakkan pengguna menggunakan sembilan yang terbaik yang memfokuskan keselamatan dan sekuriti. Tetapi, pada masa yang sama mereka masih menambah banyak lagi sokongan ekstensi.
Umum sedia maklum yang, Firefox untuk peranti mudah alih menggunakan sistem GeckoView iaitu enjin pelayar web tersendiri dari Mozilla. GeckoView terkini adalah lebih pantas, yang mana memberikan pengguna pengalaman yang lebih baik. Kemudian, disebabkan ia adalah binaan tersendiri Mozilla – ia adalah lebih selamat dan terlindung kerana pihak mereka yang tentukan apa yang ingin dikawal.
Kemaskini ini sudah pun diedarkan, pengguna boleh terus muat turun dari Google Play Store.