Cari @ Amanz


Selain terkenal dengan penghasilan dron yang berkualiti tinggi, DJI turut hadir dengan penawaran sejumlah gimbal yang menarik untuk telefon pintar. Gimbal terkini mereka DJI Osmo Mobile 4 telahpun tertiris hari ini dengan rekaan baharu yang hanya menyambungkan telefon pintar kepada tubuhnya menggunakan magnet.

Sebuah video pendek telah tertiris memperlihatkan rekaan dan fungsi yang bakal dibawa oleh gimbal tersebut. DJI Osmo Mobile 4 masih lagi mempunyai rekaan tubuh yang kompak dan boleh dilipat tetapi dengan penambahan ciri baharu. Bahagian pemegang peranti tidak lagi bersambung terus kepada batang gimbal.

Sebaliknya dua aksesori tambahan disertakan. Aksesori pertama adalah pemegang yang boleh menyepit tubuh telefon pintar dan aksesori kedua pula ialah melekap pada panel belakang peranti menggunakan pelekat. Ini juga boleh berfungsi sebagai pemegang peranti dengan gelung (ring holder) yang popular di pasaran sekarang. Kedua-duanya diperbuat daripada logam dan ini membolehkan ia disambungkan kepada batang gimbal menggunakan magnet.

Aksesori sambungan gimbal untuk DJI Osmo Mobile 4


Dalam pada itu, video tersebut turut memperlihatkan sejumlah ciri yang disertakan pada DJI Osmo Mobile 4. Ia termasuklah Active Track 3.0, Dynamiczoom, Hyperlapse, Gesture control dan Panorama. Maklumat tertiris juga mendakwa DJI Osmo Mobile 4 akan disertakan bateri 2,450mAh menerusi port USB-C. Spesifikasi lain termasuklah berat sekitar 390 gram dan sokongan Bluetooth 5.0.

Mesra diingatkan, maklumat dikongsi ini masih di peringkat ura-ura dan pihak DJI sendiri masih belum berkongsi sebarang gambaran atau petunjuk berkaitan kehadirannya. Namun begitu, jika ianya benar adakah anda akan menjadikannya sebagai pilihan?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd