NVIDIA bakal melancarkan siri kad grafik terbaru mereka, yang diberikan kod nama Ampere pada awal bulan depan. Sebelum itu, syarikat tersebut nampaknya telah mengeluarkan satu cip pemprosesan grafik baru secara senyap, iaitu NVIDIA GeForce MX450.
Pada asasnya, siri cip grafik GeForce MX450 ini ialah cip yang digunakan oleh pembuat laptop yang mahukan kebolehan pemprosesan grafik yang lebih baik berbanding apa yang terbina oleh AMD dan NVIDIA, tetapi masih mahu mengekalkan rekaan ringan dan nipis.

Apa yang unik mengenai cip grafik GeForce MX450 ini ialah pilihan memori yang tertera di laman NVIDIA sendiri. Ia memperlihatkan pilihan memori GDDR5, GDDR6 dan juga sokongan untuk antaramuka PCIe 4.0.
Dari segi penggunaan cip grafik, model MX450 dengan memori GDDR5 menggunakan cip grafik NVIDIA Pascal, iaitu cip grafik sama yang digunakan didalam siri kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1XXX empat tahun yang lalu.
Bagi pilihan model GDDR6 pula, butiran khusus cip grafik ini tidak diketahui lagi, tetapi terdapat spekulasi bahawa ia akan menggunakan cip grafik lebih baru, khususnya kerana ia menyokong sambungan antaramuka PCIe 4.0.