DJI Osmo Mobile adalah sistem gimbal untuk telefon pintar agar pengguna boleh membuat rakaman video yang stabil. Sejak Osmo Mobile 3 diperkenalkan, mereka telah hadir dengan rekaan yang mempunyai engsel – yang mana ia boleh dilipat agar lebih kompak dan mudah disimpan. Bukan itu sahaja, ia juga dijual buat pertama kalinya pada harga yang lebih murah.
Terkini, mereka telah hadir dengan DJI OM 4 – OM terdiri untuk Osmo Mobile. Apa yang menarik dengan OM 4 adalah pemegangnya mempunyai cagak bermagnet. Pengguna kini mempunyai pilihan sama ada klip bermagnet atau pelekat ring holder bermagnet, yang mana memudahkan lagi pemasangan peranti ke gimbal. Rekaannya juga adalah lebih kecil dan kini mempunyai lebih banyak mod rakaman menerusi aplikasi DJI Mimo mereka.
Antaranya adalah mod pintar yang boleh memastikan subjek sentiasa berada di tengah-tengah bingkai iaitu ActiveTrack 3.0, Story Mode untuk satu klip menghasilkan video yang kreatif, sokongan Dynamic Zoom untuk rakaman sinematik kesan khas Hitchcock, CloneMe Pro untuk menghasilkan klon dalam mod panorama, serta kawalan gestur. Mod Motionlapse, TimeLapse dan Hyperlapse pula kekal hadir untuk kesan seakan pengguna boleh mengawal masa.
Mod rakaman lain yang hadir adalah SpinShot yang boleh memutarkan peranti kepada pelbagai sudut, rakaman gerak perlahan, mod panorama 240 darjah serta mempunyai mod panorama 3×3. DJI turut hadir dengan mod rakaman khusus untuk menjadikan pengguna amatur kepada profesional seperti, Flashlight Mode, Quick Roll, Single-Handed Control dan Standby Mode.
DJI OM 4, turut dioptimasikan untuk beberapa telefon pintar untuk menyokong tambatan pantas seakan AirPods. Harga jualan adalah bermula dari $149, iaitu sekitar RM621. Ia semakin mahal, mungkin kerana pengenalan terhadap sistem magnetik dan lebih banyak mod rakaman.