Cari @ Amanz

Apple kini dalam persiapan untuk memperkenalkan sistem operasi terbaru mereka, iaitu iOS 14. Melaluinya ia bakal menyertakan sejumlah ciri-ciri baru, termasuk salah satunya lebih menekankan kepada privasi.

Melaluinya, Apple akan mula memberikan amaran terhadap kod kod berkaitan penjejak atau pemantau – dan memberikan pilihan untuk pengguna memberikan kebenaran atau tidak.

Selari dengannya, ia memberikan kesan kepada beberapa pihak – terutamanya yang menggunakan perkhidmatan pengiklanan.

Bercakap mengenainya, kini Facebook mengatakan iOS 14 akan memberikan impak yang tinggi kepada Facebook Audience Network.

Facebook Audience Network adalah khidmat pengiklanan yang boleh diintegrasikan pembangun aplikasi atau penerbit kandungan – dan menjana wang pendapatan melaluinya.

Facebook mengatakan sekitar 1 bilion pengguna melihat iklan Facebook Audience Network setiap bulan. Facebook turut mengatakan perubahan pada iOS 14 akan memberikan kesan penurunan terhadap pendapatan penerbit sehingga 50% mengikut ujian yang dilakukan.

Namun, Facebook mengatakan kesannya kelak mungkin lebih tinggi kepada penerbit apabila iOS 14 diperkenalkan dengan lebih meluas.

Apa pun, perubahan ini memberikan impak terhadap penggunaan iOS14 sahaja – dan tidak tertakluk untuk penggunaan Android buat masa ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd