Cari @ Amanz

Google Photos adalah aplikasi galeri dan juga perkhidmatan membuat sandaran di storan awan untuk imej dan video. Ia juga hadir dengan fungsi menyunting imej terbina, seperti mampu mengubah tahap kabur dalam gambar potret, mengubah warna, menambah penuras dan banyak lagi. Terkini, Google dilihat sedang menguji antaramuka baharu untuk bahagian suntingan pada Google Photos.

Jane Manchun Wong, iaitu pembangun bebas yang terkenal dengan meniriskan fungsi dan ciri dari pelbagai aplikasi kini memperlihatkan rekaan baharu Google Photos ini. Terdapat beberapa pilihan di atas butang Cancel dan Save. Salah satunya adalah Suggestions, yang mana menggunakan kecerdasan buatan untuk menyunting imej. Bukan itu sahaja, turut kelihatan adalah kemampuan crop yang kini mempunyai bahagian tersendiri berasingan dengan fungsi mengubah posisi imej.

Kemudian, fungsi Markup dan ekstensi pihak ketiha dilihat dikumpulkan dalam kategori baru – iaitu More. Tidak pasti bila antaramuka ini akan diedarkan kepada semua pengguna. Tetapi, berdasarkan ciapan Jane – seorang pengguna dari Indonesia telah menerima antaramuka ini melalui peranti Mi 10 5G.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd