Cari @ Amanz

Xiaomi baru-baru ini telah melancarkan pencetak kompak mereka, yang mana adalah mudah alih dan boleh mencetak gambar pada bila-bila masa. Ia juga pencetak yang tidak menggunakan dakwat, sebaliknya menggunaka teknologi Zero Ink – iaitu teknologi yang kamera Polaroid gunakan. Terkini, giliran Polaroid pula hadir dengan pencetak yang lebih kurang sama – iaitu Polaroid Hi-Print.

Polaroid Hi-Print 2×3 Pocket Photo Printer adalah nama penuh bagi produk ini. Seperti kamera mereka yang menggunakan teknologi cetakan sublimasi pewarna atau Zero Ink, pencetak ini hanya memerlukan kepingan gambar khas untuk mencetak imej. Rekaan pencetak ini begitu ringkas, iaitu dimensi 175 x 101 x 46 mm, dibina dari plastik dengan tema warna klasik seakan produk Apple lama. Setiap kepingan gambarnya adalah jenis pelekat dan juga kalis air dan bersaiz 2.1 x 3.4 inci.

Ia berfungsi melalui Bluetooth 5.0 yang perlu ditambat pada peranti Android atau iOS dan juga aplikasi khas. Aplikasi ini membenarkan pengguna menambah penuras, pelekat, teks dan banyak lagi sebelum mencetak. Saiz bateri adalah 640mAh, pengecasan microUSB, boleh mencetak satu imej dalam masa seminit dan satu pengecasan penuh boleh mencetak 20 keping.

Harga jualan adalah $99 (~RM413), manakala kartrij gambar 20 keping adalah $16.99 (~RM71). Turut ditawarkan adalah berkas kedua-duanya sekali dengan harga $129.99, iaitu sekitar RM542.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd