Di Malaysia kehidupan norma baharu mula menjadi norma biasa lebih lima bulan sejak PKP dikuatkuasakan. Pelbagai perniagaan terjejas tetapi panggung wayang telah dibuka semula pada Julai yang lalu dengan pembatasan fizikal diperketatkan. Tetapi ini mendatangkan masalah kepada pengusaha panggung yang masih tidak boleh memenuhkan ruang panggung bagu memaksimumkan kutipan tiket.
Sequel Seat ialah rekaan konsep kerusi panggung wayang untuk dunia norma baharu. Tiada pembatasan fizikal perlu dilakukan kerana setiap kerusi mempunyai penghadang yang mengelakkan sentuhan. Untuk memudahkan proses sanitasi pasca setiap tayangan, setiap kerusi diperbuat daripada bahan fabrik yang mempunyai saduran perak untuk memberikannya kemampuan anti bakteria. Fabrik yang sama juga kalis air dan kotoran untuk memudahkan proses pembersihan.
Tidak berakhir di situ, setiap Sequel Seat mempunyai lampu ultra ungu untuk menyahkuman. Untuk mengembalikan semula penonton, beberapa fungsi tambahan juga diberikan seperti kemampuan untuk baring, meja makanan yang lebih besar (dan mudah untuk dibersihkan), tempat menggantung jaket terbina dan paparan.
Ciri paling menarik ialah paparan nama dan nombor terus pada kerusi. Pelanggan yang melakukan tempahan dapat melihat nama mereka terpapar pada kerusi. Ini masih dapat dilihat walaupun selepas lampu panggung dipadamkan.
Rekaan konsep Sequel Seat adalah menarik tetapi pastinya menelan belanja yang tinggi. Di Malaysia kita sudahpun melihat kerusi fabrik digantikan dengan bahan vinil di panggung wayang. Adakah anda sudah sedia kembali ke panggung ataupun Covid-19 masih menjadikannya aktiviti yang berisiko tinggi?