Cari @ Amanz

Sejak beberapa bulan yang lalu, terdapat banyak ura-ura yang keluar mengenai siri kad grafik terbaru keluaran NVIDIA yang diberikan kod nama Ampere.

Diantara perkara yang sering diperkatakan ialah mengenai rekaan kad grafik ini yang mempunyai rekaan penyejuk baru, dan juga penggunaan palam kuasa PCIe 12-pin yang unik kepada model-model premium kad grafik Ampere ini.

NVIDIA baru-baru ini telah mengeluarkan sebuah video mengenai proses yang digunakan dalam pembinaan siri kad grafik terbaru mereka, yang dijangka akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Melalui video tersebut, mereka telah sedikit sebanyak mengesahkan bahawa sistem penyejukan kad grafik ini akan menerima rekaan semula untuk memastikan pengaliran haba jauh lebih cekap berbanding dengan sebelum ini, kerana penggunaan kuasa yang lebih tinggi.

Untuk ini, NVIDIA juga telah membangunkan kabel dan palam kuasa PCIe 12-pin yang baru untuk mengalirkan lebih banyak kuasa berbanding dengan kabel 8+8 pin yang digunakan sebelum ini.

NVIDIA masih belum mengesahkan butiran ini, tetapi penggunaan kabel 12-pin ini merujuk kepada model kad grafik paling berkuasa didalam siri Ampere, yang dikenali sebagai NVIDIA GeForce RTX 3090 yang dijangka akan memerlukan penggunaan bekalan kuasa 800W keatas.

NVIDIA dijangka akan mengumumkan siri kad grafik Ampere ini pada minggu depan bersempena dengan ulang-tahun ke-21 siri NVIDIA GeForce.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd