VA-1X Ialah Sebuah Lagi Teksi Terbang Dengan Kemampuan Terbang Menegak

VA-1X Ialah Sebuah Lagi Teksi Terbang Dengan Kemampuan Terbang Menegak

Diterbitkan pada Ogos 27, 2020 oleh .

Teksi terbang dijangka menjadi pengangkutan awam biasa di kota-kota besar dalam masa sedekad lagi. Gabungan kemampuan terbang menegak dengan pantas dan menggunakan kuasa elektrik yang lestari menyebabkan banyak syarikat berlumba-lumba menghasilkan teksi terbang komersial pertama. VA-1X ialah rekaan teksi terbang dari Vertical Aerospace dengan sistem kipas sendeng.

VA-1X dalam mod terbang menegak – Vertical Aerospace

Dengan penggunaan kipas sendeng, teksi terbang ini mampu terbang dan mendarat secara menegak seperti helikopter serta terbang mendatar seperti kapal terbang konvensional. Lapan kipas elektrik akan membekalkan tujahan ketika terbang menegak.

Apabila berubah ke penerbangan mendatar, hanya empat kipas sahaja diperlukan bagi mengurangkan penggunaan bateri.Pihak Vertical Aerospace menyasarkan kelajuan maksimum 241 km/j dan jarak operasi sehingga 161 km menggunakan bateri Li-ion.

Konfigurasi kabin VA-1X – Vertical Aerospace

Setiap teksi terbang boleh membawa empat penumpang dan satu juruterbang. Penerbangan prototaip pertama dijadualkan pada tahun 2021 dengan operasi dijangka bermula seawal 2024 jika ujian berjalan dengan lancar.

Pereka VA-1X percaya teksi terbang mereka adalah lebih murah dan juga tidak menghasilkan pencemaran bunyi seperti sebuah helikopter. Dengan sayap sepanjang 15 meter dan panjang 13 meter pula, ia cukup kecil untuk menggunakan pad mendarat helikopter sedia ada tanpa memerlukan lapangan khas seperti yang dicadangkan Uber, Volocopter dan eHang.



TIPS & ULASAN