Cari @ Amanz

Xiaomi sedia terkenal dengan penawaran siri Xiaomi Mi 10 mereka menerusi sejumlah model yang terdiri daripada Mi 10, Mi 10 Pro, Mi 10 Lite, Mi 10 Lite Zoom dan Mi 10 Ultra. Tidak terhenti di situ, jenama ini juga dilaporkan bakal merancakkan barisan peranti mereka dengan sejumlah model baru lagi. Peranti yang dimaksudkan mungkin dikenali dengan nama siri Xiaomi Mi 10T.

Sejumlah butiran utama untuk salah satu model tersenarai iaitu Mi 10T Pro didakwa telah tertiris dengan sokongan skrin OLED bersama kadar segar semula 144Hz, kamera utama 108-Megapixel, bateri 5,000mAh dan pengimbas cap jari di sisi. Dalam pekembangan lain, imej sebenar peranti ini juga didakwa telah mula diperlihatkan.

Ia dipercayai hadir dengan skrin berlubang pada skrin hadapan untuk peletakan kamera swafoto bersama lensa tunggal. Seterusnya, imej tersebar turut memperlihatkan panel belakang hadir dengan modul kamera berbentuk segi empat. Rekaannya nampak menarik dengan saiz yang besar bersama sensor utama yang dilihat menjadi titik fokus pada modul berkenaan.

Tiada maklumat lanjut berkaitan spesifikasi dan tarikh pelancaran yang dikongsi. Akan tetapi, kita mungkin akan mendengar lebih banyak maklumat tertiris berkaitan peranti ini dalam masa terdekat.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd