Pelitup muka diwajibkan pemakaiannya oleh kerajaan bagi membendung penyebaran wabak Covid-19 di Malaysia. Walaupun harga siling pelitup muka kini dikawal, kos untuk membeli topeng pakai buang masih lagi agak tinggi. Penyelesaian yang diambil orang ramai ialah menggunakan pelitup yang boleh dibasuh. Tetapi sekiranya anda inginkan pelindungan yang lebih menyeluruh, LG PuriCare Wearable Air Purifier telah dilancarkan.
Penapis udara boleh-pakai ini dilengkapi dua penapis udara H13 HEPA yang boleh menapis partikel yang bersaiz kecil. Teknologi penapis udara PuriCare LG diguna pakai untuk versi boleh dipakai ini.

Kadar aliran udara akan dipantau sepanjang masa oleh penapis udara ini. Ia meningkat bagi memudahkan pemakai bernafas serta turut boleh dikawal menggunakan aplikasi ThinQ oleh LG. Dua buah kipas akan memastikan keselesaan sepanjang masa.
Selain itu terdapat lampu ultra ungu LED terbina yang akan menyahkuman penapis muka dari bakteria dan kuman. Dengan bateri sebesar 820 mAH, ia boleh beroperasi sehingga lapan jam dalam mod biasa dan dua jam dalam mod prestasi tinggi.
Harga jualan belum diumumkan tetapi LG PuriCare Wearable Air Purifier akan diperlihatkan secara rasmi di acara IFA 2020 minggu hadapan.