Amazon terkini telah mengembangkan produk peranti boleh pakai mereka, selepas melancarkan TWS pada tahun lepas – Echo Buds. Produk terbaru mereka adalah pertama dalam kategori kecergasan dan kesihatan iaitu Amazon Halo. Ia adalah penjejak kesihatan seakan Mi Band, tetapi jauh lebih hebat dan unik. Ia tidak mempunyai sebarang skrin, dan kelihatan seperti tali jam kosong sahaja.

Amazon Halo ini mempunyai pelbagai sensor terbina, salah satu daripadanya adalah boleh membaca emosi pengguna. Ia berfungsi melalui mikrofon terbina yang sentiasa mendengar tona suara pengguna. Halo akan merakam suara pengguna untuk mengenalpasti pitch, perasaan, rima dan tempo suara – audio ini dihantar melalui Bluetooth dan untuk privasi dan sekuriti segala proses menganalisa emosi ini berlaku pada peranti sahaja. Perkara unik lain adalah, Halo boleh menjana model 3D melalui kecerdasan buatan untuk memaparkan peratusan lemak pada tubuh. Melalui model 3D ini, pengguna boleh mempunyai lebih semangat untuk kekal sihat.

Halo turut kekal seperti penjejak kesihatan lain seperti mempunyai kemampuan menjejak aktiviti, mengesan nadi, pemantauan tidur dan banyak lagi. Ia juga boleh memberi notifikasi dari telefon, tetapi ia tidak mempunyai sokongan WiFi, GPS. Sensor yang disediakan adalah pemecutan, sensor suhu, sensor imbasan nadi, dua mikrofon, lampu LED dan juga butang untuk mematikan mikrofon.
Halo ini mempunyai tiga saiz iaitu kecil, medium dan besar. Warna pilihan pula adalah Black + Onyx, Blush + Rose Gold, dan Winter + Silver.

Agak pelik, walaupun ia ada mikrofon dan adalah produk Amazon – ia tidak menyokong seruan Alexa. Harga jualan Amazon Halo adalah $99, iaitu sekitar RM413 dan disertakan sekali dengan pakej langganan perkhidmatan pemantauan kesihatan selama enam bulan. Selepas enam bulan, untuk terus menggunakannya – harga langganan akan turut kepada $3.99 iaitu sekitar RM17 sebulan.