OnePlus Nord adalah peranti kelas pertengahan terbaru dari OnePlus. Ia adalah percubaan kedua, selepas bertahun tidak memfokuskan kepada peranti mercu sahaja. Kali terakhir mereka hadir dengan peranti kelas pertengahan adalah melalui OnePlus X iaitu pada tahun 2015. Selepas lima tahun fokus pada peranti mercu, apa yang mampu OnePlus tawarkan pada OnePlus Nord?
Menurut OnePlus, mereka cuba membawakan pengalaman peranti mercu kepada OnePlus Nord. Pengalaman ini adalah kepantasan Oxygen OS, prestasi permua yang hebat, sokongan 5G, serta skrin AMOLED dengan kadar segar semula 90Hz. Selepas beberapa menggunakan peranti ini sebagai peranti harian, saya mempunyai pendapat yang bercampur aduk mengenai peranti ini.
Spesifkasi & Rekaan
Jenis | Peranti Pintar |
Paparan | 6.44″ Fluid AMOLED, FHD+, HDR10+, 90Hz |
Pemproses | Snapdragon 765G 7nm |
Cip | 1 x 2.4 GHz Kryo 475 Prime 1 x 2.2 GHz Kryo 475 Gold 6 x 1.8 GHz Kryo 475 Silver |
Cip Grafik | Adreno 620 |
RAM | 8/12 Gigabyte |
Muatan Dalaman | 128/256 GB UFS 2.1 |
Kamera Utama | 48 MP, f/1.8, (utama) 8 MP, f/2.4, 119 darjah (sudut ultra lebar) 5 MP, f/2.4, (kedalaman) 2 MP, f/2.4, (makro) |
Kamera Depan | 32 MP, f/2.5, (utama) 8 MP, f/2.5, (sudut ultra lebar) |
Bateri | 4115mAh (Pengecasan pantas Warp Charge 30T) |
Sim /Telefoni/NFC | Dwi SIM Nano, Ada |
Ketahanan Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas Cap Jari Bawah Skrin |
Harga Jualan | RM1799, RM2,399 |
OnePlus Nord adalah peranti kelas pertengahan yang menggunakan rekaan seakan sebuah peranti mercu. Jika anda lihat dengan teliti, rekaan peranti ini adalah mirip seakan OnePlus 8 – yang mana bentuknya adalah lebih kurang sama. Beza yang paling ketara adalah lokasi modul kamera yang diletakkan di bahagian sisi.
Bukan itu sahaja, rekaan skrin pula adalah jenis dwi-lubang bagi memuatkan dwi-lensa swafoto dan skrin AMOLED yang digunakan adalah jenis rata bukannya melengkung. Peranti ini apabila berada di tangan benar-benar rasa seakan sebuah peranti mercu, kelihatan seakan sebuah peranti yang mewah dan perasaan memegangnya rasa selesa dan seakan sebuah peranti kelas atasan yang mahal. Tetapi, kerangka peranti ini adalah plastik yang mana adalah untuk mengurangkan kos jualan.

Jika tidak diberitahu – kerangka yang menggunakan kemasan cat metalik ini memang sukar untuk dibezakan sama ada ianya plastik ataupun tidak. Peranti ini juga adalah peranti OnePlus yang kembali ke masa silam – kerana menggunakan hanya satu pembesar suara. Sejak OnePlus 7, OnePlus telah beralih ke pembesar suara stereo – tetapi peranti ini kembali ke zaman OnePlus 6 ke bawah. OnePlus Nord juga seperti peranti mercu OnePlus yang lain, iaitu tidak mempunyai port bicu audio 3.5mm.
Di bawah peranti ini hanya ada slot kad SIM, port USB-C, lubang mikrofon dan juga kekisi pembesar suara. Di bahagian atas pula hanya ada lubang mikrofon, di sisi kiri hanya ada butang aras suara dan sisi kanan pula adalah butang boleh luncur untuk kawalan notifikasi serta butang kuasa. Di belakang hanya ada kamera dan logo OnePlus. Di hadapan adalah skrin dengan bezel yang hampir sekata, kelihatan sedikit nirbingkai – tetapi masih ada dagu yang sedikit tebal.
Skrin & Prestasi
Skrin peranti ini adalah Fluid AMOLED dengan resolusi FHD+, menyokong paparan HDR10+ serta mempunyai kadar segar semula 90Hz. Tidak banyak peranti kelas pertengahan yang menawarkan skrin sehebat ini. Menggunakan peranti ini untuk menonton video seperti di YouTube atau Netflix tidak dinafikan akan memberikan pengalaman yang hebat. Warna yang cantik, butiran yang jelas kelihatan serta kecerahan yang baik-baik sahaja. Bercakap mengenai kecerahan, skrin peranti ini tidak begitu baik jika digunakan di bawah cahaya matahari yang terik.

Cip pemprosesan Snapdragon 765G yang digunakan pada peranti ini turut dipadankan dengan pilihan memori 8GB atau 12GB dan juga storan dalaman yang boleh mencapai sehingga 256GB UFS 2.1. Variasi yang ada di Makmal Amanz ini adalah 12/256 GB. Jika dibandingkan dengan Snapdragon 730G – beza yang ketara adalah GPU dan sokongan 5G sahaja. Bercakap mengenai 5G, walaupun di Malaysia tiada lagi sokongan 5G untuk pengguna umum – rangkaian 4G boleh menjadi 4G+ dan lebih stabil jika dibandingkan dengan peranti lain. Prestasi pada peranti ini pula adalah mengejutkan, di mana jika saya tidak ambil tahu atau tiada sesiapa beritahu yang ini adalah peranti kelas pertengahan – pasti sukar untuk membezakan dengan peranti mercu. Lebih-lebih lagi dari sudut pandangan pengguna biasa.
Menggunakan peranti ini sebagai peranti harian langsung tiada masalah prestasi. Ia kekal pantas berpanjangan, tidak kira dari multi-tugasan, membuka banyak aplikasi serentak – semuanya bagus sekali. Peralihan animasi jelas kelihatan laju sahaja, animasi membuka, tutup atau kerja-kerja pemasangan aplikasi semuanya lancar sahaja. Cuma, sedikit lengah masa terasa apabila terlampau banyak aplikasi dibuka dan tidak membuangnya dari senarai aplikasi yang terbuka – lengah masa akan berlaku tetapi tidak menyebabkan peranti tergendala.
Bermain permua juga langsung tiada masalah, lagi-lagi dengan mod permua terbina iaitu Fnatic Mode. Permua seperti PUBG Mobile, Asphalt 9 atau COD Mobile boleh dimainkan pada tetapan tinggi dengan lancar sekali. Walaupun sudah bermain permua atau menggunakan aplikasi yang berat seperti pelayar web dengan banyak tab dibuka – peranti langsung tidak memanas.
Skor Tanda Aras

Skor tanda aras pada OnePlus Nord bukanlah antara yang menarik mata memandang. Tetapi untuk sebuah peranti kelas pertengahan, ia agak hebat. Cuma perlu sentiasa ingat, skor tanda aras adalah nombor semata-mata dan pengalaman penggunaan di dunia sebenar adalah yang paling penting.
Pada AnTuTu, skor yang diperoleh adalah 328,568. Manakala pada Geekbench pula ia memperoleh 608 untuk satu teras dan 1,868 untuk multi-teras. Ini adalah skor yang baik sahaja, membuktikan yang peranti ini mempunyai prestasi yang baik.
GPS & Telefoni
Menggunakan peranti ini untuk merantau negeri ke negeri tiada masalah langsung. Dengan kualiti GPS yang agak hebat, ia memastikan lokasi mudah dikunci dan arahan selok-belok mudah diberikan – tidak kira melalui Waze atau Google Maps. Tetapi, ini turut bergantung kepada telco yang digunakan oleh anda. Berdasarkan pengalaman bertahun menggunakan OnePlus, jika menggunakan telco berwarna jingga – OnePlus akan ada sedikit masalah GPS. Tetapi setakat ini, isu ini masih tidak dilihat pada OnePlus Nord.

Membuat atau menerima panggilan telefon juga baik sahaja. Penerima memberitahu yang kualiti audio adalah baik-baik sahaja, cukup kuat dan jelas. Berbeza dengan beberapa peranti dalam kelas yang sama, kadangkala apabila memandu ke jalan raya merentasi bawah jambatan, terowong SMART – panggilan telefon akan sedikit tergendala atau suara penerima akan menjadi sedikit pecah atau seakan robot. Pada OnePlus Nord isu ini tidak kelihatan. Sekurang-kurangnya pada telco berwarna hijau.
Oxygen OS 10 – Berakhirnya Pengalaman Seakan Android Asli
Antara sebab utama kenapa ramai peminat teknologi memilih OnePlus berbanding degan peranti lain adalah Oxyugen OS. Oxygen OS adalah sistem operasi yang dibina berasaskan Android. Versi terkini yang dijalankan pada OnePlus Nord adalah Oxygen OS 10 berasaskan Android 10. Oxygen OS sentiasa menjadi pilihan kerana rekaan yang tidak begitu banyak modifikasi antaramuka dan mirip dengan Android asli.

Sejak OnePlus 8, OnePlus semakin mendekati dengan Android asli, dengan penggunaan Google Discover pada skrin utama dan tidak menetapkan OnePlus Shelf secara lalai. Bukan itu sahaja, aplikasi telefoni dan SMS pula kini menggunakan Google Phone dan Google Message. Secara tidak langsung mengekalkan kata-kata orang ramai yang Oxygen OS adalah “Android asli” dengan banyak ciri dan fungsi.
Tetapi OnePlus Nord ini adalah peranti yang mana OnePlus bereksperimen untuk membunuh konsep sistem operasi yang mendekati Android asli. Kenapa? Pertama, OnePlus menyertakan pilihan memori sehingga 12GB RAM. Sedangkan Oxygen OS adalah sistem operasi yang ringan, penggunaan memori sepatutnya sedikit sahaja. Seperti yang disebut dalam perenggan awal, tidak banyak peranti kelas pertengahan ada memori sebesar ini. Kemudian sejak OnePlus 8, iaitu beberapa bulan sebelum OnePlus Nord – Oxygen OS mula menyertakan Facebook terbina dan tidak boleh dibuang.

Kemudian, Oxyegn OS 11 pula telah mula menggunakan tema yang “berat” yang mana rekaannya adalah seakan klon kepada One UI dari Samsung. Nilai seakan Android asli itu semakin berkurangan, membuatkan peminat OnePlus mempersoalkan kenapa OnePlus semakin berubah dan seakan menganiaya pengguna setia.
Tetapi, Oxygen OS pada OnePlus Nord tidak dinafikan mempunyai pengalaman penggunaan yang hebat. Memang benar dakwaan OnePlus, ia mempunyai sedikit pengalaman seakan menggunakan peranti mercu. Segala ciri dan fungsi yang ada pada peranti seperti OnePlus 8 dikekalkan dalam Nord. Always-On Display, mod Fnatic, RAM Boost, dan banyak lagi.
Kamera

Kualiti kamera peranti ini mengejutkan agak hebat. Tetapi tidak sehebat peranti mercu. Benar, lensa utama adalah 48MP yang mana sensor sama digunakan pada OnePlus 8. Tetapi dari segi pengoptimasian, pasca proses – ada banyak kurangnya dengan peranti mercu mereka. OnePlus agak bijak dalam pemasaran agar pengguna boleh tertipu. Mana mungkin mereka bunuh begitu sahaja OnePlus 8/8 Pro dan menyuruh peminat membeli Nord.
Kamera Nord walau bagaimanapun hebat dalam kelasnya. Lensa utama kekal memberi imej yang berkualiti. Warna adalah jitu, nilai HDR yang mencukupi serta butiran yang dipelihara dengan baik. Sedikit masalah dengan kamera peranti ini adalah, masa untuk ia memproses imej sedikit lama menjadikan pengguna tidak boleh menggerakkan tangan sebaik selepas menekan pengatup kamera.







Perkara lain yang mengecewakan pada peranti ini adalah, gambar sudut ultra lebar tidak begitu cantik. Warna sedikit pudar dan kesan herotan agak serius walaupun dalam tetapan ada pilihan membaiki kesan herotan. Tetapi, secara keseluruhan ianya OK sahaja dan tidak menjadi masalah jika sudah disunting sedikit. Kemudian, hasil makro pula OnePlus kekal kepakaran mereka sejak OnePlus 7 Pro. Hasil imej makro adalah cantik, fokus yang baik dengan warna serta butiran yang dipelihara.





Imej swafoto agak menarik dan memuaskan. Ia mempunyai sokongan sudut ultra lebar. Tetapi mod ini adalah yang paling perlahan, yang mana masa pasca proses begitu lama untuk memastikan gamba rberkualiti. Cuma menariknya, jika bersabar sedikit hasilnya agak memberangsangkan.


Mengejutkan pada Nord ini adalah, imej potretnya agak hebat. Boleh dikatakan ia lebih kemas dan memuaskan. Pengasingan subjek dengan latar belakang adalah baik sekali. Tetapi jika dibandingkan dengan Pixel 4a – Nord tewas begitu sahaja. Pixel 4a ada kemampuan zum 7 kali, jadi kami tetapkan mod zum 7 kali pada Nord juga dan lihat hasilnya – Pixel 4a menang begitu sahaja. Peranti satu lensa, menewaskan peranti empat lensa.





Video yang paling menarik pada OnePlus Nord ini adalah mod 4K CINE 30FPS. Ia merakam video dalam nisbah yang memanjang dan mempunyai warna yang cantik. Tetapi mod ini tidak mempunyai kestabilan seakan mod video yang lain. Cuma ia menjadi tarikan kerana, ia adalah peranti kelas pertengahan dengan kemampuan merakam video sinematik itu agak menakjubkan. Tetapi warna sedikit kurang konsisten dan kualiti audio adalah tidak memuaskan.
Audio
Walaupun OnePlus Nord menggunakan pembesar suara mono, kualiti audio adalah tidak teruk dan baik sahaja. Ia mempunyai aras suara yang baik, tidak begitu kuat dan bingit. Menonton video atau mendengar muzik akan membuatkan pengguna rasa selesa sahaja. Tetapi, disebabkan ianya mono – ia tidak mempunyai pengalaman yang memuaskan.
OnePlus jelas sekali cuba mempromosikan OnePlus Buds atau Bullets Wireless Z mereka untuk digunakan bersama-sama dengan Nord. Ketiadaan port bicu audio adalah rancangan mereka untuk melakukan sedemikian, kerana menjual Nord pada harga “mampu milik” serta OnePlus Buds adalah klon AirPods yang dijual pada harga lebih murah.
Bateri

Bateri pada peranti ini agak hebat, tetapi tidak memuaskan. Kapasiti hanya 4115mAh dengan sokongan pengecasan pantas Warp Charge 30T, iaitu 30W. Ketahanan bateri hanya mencapai sekitar 5 jam SOT sahaja dan menghampiri 6 jam. Dalam penggunaan ekstrem ia hanya bertahan sekitar 4 jam SOT sahaja. Untuk peranti kelas pertengahan, sepatutnya bateri seperti Nord ini mampu bertahan sekurang-kurangnya 5 jam SOT untuk penggunaan ekstrem dan 6-7 jam untuk penggunaan biasa.

Tetapi syukur, pengecasan pantas 30W ini agak pantas dan boleh menampung penggunaan 1 hari setengah dengan satu pengecasan penuh dan 10 minit pengecasan tambahan. Walaupun panel belakang adalah kaca, peranti ini tidak mempunyai pengecasan nirwayar yang menbuatkan kos peranti ini turut meningkat. Alang-alang kerangka sudah plastik, sepatutnya panel belakang gunakan plastik juga agar peranti lebih murah. Kenapa gunakan kaca jika tidak ingin menyertakan ciri lain?
Perbandingan Peranti Pesaing
Google Pixel 4a | OnePlus Nord | Vivo X50 Pro |
6.81″ OLED, FHD+, HDR10+, 60Hz (443 PPI) | 6.44″ Fluid AMOLED, FHD+, HDR10+, 90Hz (408 PPI) | 6.56″ AMOLED, FHD+, HDR10+, 90Hz (398 PPI) |
Snapdragon 730G 2 x 2.2 GHz Kryo 470 Gold 6 x 1.8 GHz Kryo 470 Silver | Snapdragon 765G 1 x 2.4 GHz Kryo 475 Prime 1 x 2.2 GHz Kryo 475 Gold 6 x 1.8 GHz Kryo 475 Silver | Snapdragon 765G 1 x 2.4 GHz Kryo 475 Prime 1 x 2.2 GHz Kryo 475 Gold 6 x 1.8 GHz Kryo 475 Silver |
Adreno 618 | Adreno 620 | Adreno 620 |
6 Gigabyte | 6/12 Gigabyte | 8 Gigabyte |
128GB UFS 2.1 | 128/256 Gigabyte UFS 2.1 | 256 Gigabyte UFS 2.1 |
Kamera Utama 12.2 Megapixel (f/1.7) | Kamera Utama 48+8+5+2 Megapixel, (f/1.8+f/2.3+f/2.4+f/2.4) | Kamera Utama 48+8+13+8 Megapixel, (f/1.6+f/3.4+f/2.5+f/2.2) |
Kamera Hadapan 8-Megapixel (f/2.0) | Kamera Hadapan 32+8 Megapixel (f/2.5+f/2.5) | Kamera Hadapan 32 Megapixel f/2.5 |
Tiada Kemampuan Kalis Air | Tiada Kemampuan Kalis Air | Tiada Kemampuan Kalis Air |
Ada Bicu audio 3.5mm | Tiada bicu audio 3.5mm | Tiada bicu audio 3.5mm |
Tiada Pemancar infra merah | Tiada pemancar infra merah | Tiada Pemancar infra merah |
3140 mAh (Berwayar 18W) | 4115 mAh (Berwayar 30W) | 4315 mAh (Berwayar 33W) |
Sekitar RM1900 (import) | Bermula RM1799 | RM3199 |
Kesimpulan
OnePlus Nord adalah sebuah percubaan kedua OnePlus yang baik dalam kategori peranti kelas pertengahan. Tetapi, OnePlus masih banyak perlu belajar dari pesaing seperti dari segi harga jualan. Di pasaran luar, seperti India versi 12/256 GB hanya sekitar RM1700. Tetapi memasuki pasaran Malaysia, harga jualan adalah mencapai RM2,399. Untuk sebuah peranti kelas pertengahan yang binaannya plastik dan spesifikasi biasa sahaja – harga jualannya agak mahal dan melebihi dari sebuah peranti mercu.
Lihat sahaja, harga RM2,399 itu boleh membeli sebuah OnePlus 7T yang jauh lebih hebat. Jika anda ingin peranti mercu dengan spesifikasi terkini – Poco F2 Pro boleh didapati pada harga bawah RM1800. Jika asalan OnePlus adalah 5G, 5G sekarang belum boleh digunakan di Malaysia. Suatu hari nanti, apabila 5G sudah tersedia pasti peranti 5G akan dijual lebih murah.
Dari segi kamera, OnePlus Nord tidak seberapa yang mana kami akan memilih Pixel 4a. Tetapi dari segi kestabilan secara keseluruhan – OnePlus Nord ini baik sahaja. Cuma harganya yang tidak bersesuaian dengan apa yang ditawarkan. Mungkin bagi mereka yang ingin cuba Oxygen OS, ini adalah peranti pilihan sebelum Oxygen OS 11 keluar – Nord adalah pilihan baik.
KELEBIHAN | KEKURANGAN |
|
|
