Huawei hari ini telah memperkenalkan dua tablet baru untuk pasaran Malaysia, iaitu Huawei MatePad dan juga Huawei MatePad T10.
Huawei MatePad membawakan spesifikasi sedikit tinggi – dimana ia menyertakan skrin 10.4-inci, dilengkapi cip Kirin 810, dan menyertakan empat speaker yang dioptimasikan Harman Kardon. Tablet ini turut hadir dengan bateri 7250mAh yang menawarkan pengalaman penggunaan sepanjang hari bersama dengannya.
Sementara Huawei MatePad T10 merupakan tablet dengan spesifikasi sedikit rendah. Ia hadir dengan skrin 9.7-inci, dijana cip Kirin 710, dan bateri 5100mAh. Tablet ini dilihat lebih ditujukan kepada kanak-kanak, atau mereka yang memerlukan tablet dengan penawaran asas untuk menikmati kandungan atau melakukan tugasan ringkas.
Kedua-dua tablet ini hadir dengan sokongan Huawei AppGallery untuk muat-turun aplikasi, selain turut menyertakan Petal Search untuk memudahkan carian aplikasi dari sumber luar.
Kedua-dua tablet ini akan ditawarkan bermula 9 September 2020 ini di Malaysia. Huawei MatePad membawakan tanda harga RM1399, sementara MatePad T10 pula menawarkan tanda harga RM799. Menariknya, khusus untuk 9 September sahaja, pihak Huawei menawarkan tablet Huawei MatePad T10 pada harga RM499.