CEO Huawei Mengesahkan Tiada Telefon Berasaskan HarmonyOS Untuk Tahun Ini

CEO Huawei Mengesahkan Tiada Telefon Berasaskan HarmonyOS Untuk Tahun Ini

Diterbitkan pada Ogos 29, 2020 oleh .

Huawei pada tahun lepas telah memperkenalkan sistem operasi mereka tersendiri dinamakan HarmonyOS – membolehkan ia digunakan bukan sahaja pada telefon pintar, tetapi pada pelbagai peranti berhubung moden.

Sejak diumumkan, ramai yang menantikan bagaimanakah rupa sistem operasi berkenaan pada telefon pintar. Sehingga ke hari ini, Huawei masih kekal menggunakan sistem operasi berasaskan Android, dan bercakap lanjut mengenainya, CEO Huawei mengatakan tiada perancangan untuk memperkenalkan telefon pintar menggunakan HarmonyOS pada tahun ini.

Buat masa ini, Huawei masih menggunakan Android sebagai sistem operasi pilihan – salah satu sebabnya adalah kerana sokongan ekosistem, dan penawaran aplikasi serta lain-lain.

Sebelum ini, Huawei pernah mengatakan HarmonyOS telah pun sedia, tetapi masih kekal sebagai perancangan kedua sekiranya mereka dihalang menggunakan Android, atau perkara lain berlaku.

Kerajaan Amerika Syarikat dibawah pentadbiran Donald Trump sebelum ini telah menghalang syarikat Amerika untuk bekerjasama atau menjual teknologi kepada pihak Huawei. Ini sekaligus membuatkan Huawei bersedia dengan alternatif – selain sistem operasi, mereka turut menyediakan kedai aplikasi mereka tersendiri, dinamakan AppGallery.



TIPS & ULASAN