Cari @ Amanz

Samsung Galaxy Z Fold2 telah dilancarkan secara rasmi hari ini selepas ia diacah pada acara pelancaran Note20 beberapa minggu lalu. Dengan pelancaran hari ini, maklumat lebih lengkap mengenai spesifikasi serta ciri-ciri baharu yang disokong akhirnya diketahui dengan lengkap.

Pertama sekali skrin luaran kini sebesar 6.2″ Super AMOLED yang jauh lebih besar hampir tanpa bezel dengan lubang untuk kamera swafoto 10-megapixel. Pada bahagian dalamnya pula ialah skrin boleh lipat 7.6″  Dynamic AMOLED 2X menyokong kadar segar semula 120Hz boleh ubah. Ini ialah kadar segar semula yang turut digunakan pada Note20 Ultra bagi mengurangkan penggunaan bateri peranti.

Seperti skrin luaran, skrin dalaman boleh lipat ini juga mempunyai lubang untuk kamera swafoto 10-megapixel. Dengan penggunaan bezel yang lebih kecil, skrin dalam Fold2 juga lebih besar berbanding 7.3″ tahun lalu. Untuk memastikan skrin ini tahan lasak, lapisan UTG digunakan pada skrin boleh lipat.

Peranti dijana oleh cip Snapdragon 865+, memori sebesar 12GB RAM, storan sebesar 256/512 GB UFS 3.1 dan bateri sebesar 4500 mAh. Pengecasan pantas berwayar 25W disokong juga dengan pengecasan nirwayar.

Samsung Galaxy Z Fold2 dalam Flex Mode

Mekanisme lipatan ditambah baik dengan berus pada bahagian dalam yang menolak kotoran keluar seperti yang diperkenalkan pada Z Flip sebelum ini. Engsel boleh dibuka sehingga 170 darjah untuk bukaan penuh skrin dalaman atau pada mana-mana sudut yang diinginkan oleh pengguna. Ini sekaligus membolehkan Flex Mode digunakan untuk merakam video, menonton video atau menyertai telesidang. Sekali lagi ciri Z Flip kini turut hadir pada Fold2. Samsung turut memberikan pilihan kustomasi pada plat engsel dengan empat warna berbeza seperti merah sekiranya pemilik mahukan kelainan pada peranti yang dimiliki.

Rekaan bonggol kamera utama Fold2

Melengkapi spesifikasi ialah tri-kamera utama 12+12+12 f/1.8+f/2.2+f2. 4 megapixel yang menyokong lensa sudut lebar, ultra sudut lebar dan telefoto. Walaupun sekilas pandang ia kelihatan sama seperti modul kamera Note20, ia sebenarnya tidak mampu melakukan zum sehingga 50x kerana tiadanya mekanisme periskop.

Jualan akan bermula 18 September ini pada 40 pasaran terpilih dengan harga bermula dari $1,999.99 (~RM 8285) sebuah. Ini adalah sekitar $20 (RM80) lebih mahal berbanding harga jualan Galaxy Fold asal. Kami difahamkan ia akan ditawarkan di Malaysia dalam masa terdekat.

Pada waktu yang sama Samsung turut akan menawarkan Galaxy Z Fold2 Tom Browne Edition dalam jumlah terhad 5000 unit sahaja pada harga $3299 (~RM13,666). Versi ini akan mempunyai kemasan, teman antaramuka dan aksesori tambahan (Galaxy Watch3 dan Buds Live) dengan rekaan eksklusif.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd