Carian
OnePlus Menjelaskan Kenapa Oxygen OS 11 Mirip One UI
September 1, 2020 Fahim Zahar

Oxygen OS adalah sistem operasi dari OnePlus yang mana dibina berasaskan Android. Sehingga hari ini, versi stabil sudah mencapai versi Oxygen OS 10 dan yang terkini yang masih lagi diuji adalah Oxygen OS 11. Oxygen OS 11 ini ada banyak kontroversi, ini kerana sudah sekian lama ia dikenali sebagai sistem operasi yang mirip Android asli – kini berubah menjadi klon One UI dari Samsung.

Walaupun mereka tidak mengaku yang Oxygen OS 11 ini mirip One UI, konsep asasnya adalah sama sahaja – iaitu memudahkan penggunaan satu tangan. Selepas membuat ujian dalam kumpulan tertentu, mereka mendapati yang 65% pengguna lebih gemar teks di bahagian atas yang lebih kecil dan 80% lebih gemar teks dengan butiran di bawah. Oleh yang demikian, hasilnya adalah rekaan serba baru dalam Oxygen OS 11 yang kelihatan seakan One UI. Teks aplikasi di bahagian atas adalah besar dan di bawahnya ada ruang, bagi memudahkan pengguna akses kandungan dalam aplikasi.

Menurut OnePlus yang mereka perasan, sistem operasi Android tidak pernah fokus kepada penggunaan satu tangan. Disebabkan saiz skrin peranti semakin hari semakin besar, mereka mengubah rekaan sebegini agar pengguna lebih selesa dan penggunaan satu tangan adalah lebih efisien jika melihat data antropometrik dalam aplikasi. Jadi, dengan kandungan aplikasi dipindahkan ke bahagian bawah dan cara pengguna memegang peranti adalah dari bawah – segala kawalan seperti mengakses menu atau tetapan aplikasi kini lebih mudah.

Salah satu contoh yang jelas adalah, aplikasi kenalan. Mereka mengubah lokasi tab di bawah agar mudah pengguna berinteraksi dengan aplikasi dengan akses pintas melalui ikon sahaja. Contoh lain pula adalah akses pantas berkongsi gambar yang diambil dari kamera – yang mana mirip dengan Google Camera. Kini pada aplikasi kamera OnePlus, ada butang kongsi Quick Share untuk terus kongsi gambar yang baru diambil.

Keseluruhan sistem operasi walau bagaimanapun, masih lagi kelihatan seperti Android asli. Cuma selepas Samsung mengumumkan One UI dengan fokus terhadap penggunaan satu tangan – orang ramai sudah mengenali yang antaramuka seperti ini adalah dari Samsung. Jadi Oxygen OS tidak lagi kelihatan seakan Android asli yang orang ramai sudah biasa lihat.

Komen